Tun M pertahan LIMA di Langkawi, mahu jenama antarabangsa itu dikekalkan | The Reporter

Tun M pertahan LIMA di Langkawi, mahu jenama antarabangsa itu dikekalkan

Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menyuarakan pandangan mengenai penganjuran LIMA di Langkawi
Gambar: Facebook Tun Dr Mahathir Mohamad

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpandangan Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) wajar dikekalkan di Langkawi dan tidak dipindahkan ke lokasi lain.

Pandangan itu dibuat susulan laporan mengenai cadangan kerajaan meneroka Melaka, khususnya kawasan Klebang, sebagai lokasi alternatif penganjuran LIMA pada masa hadapan sekiranya Langkawi tidak lagi sesuai untuk menjadi tuan rumah pameran berkenaan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebelum ini berkata Klebang mempunyai kedudukan strategik kerana tidak jauh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka di Batu Berendam, selain mempunyai akses bagi kapal-kapal untuk berlabuh.

Beliau berkata, bagaimanapun, penganjuran LIMA di Melaka memerlukan pelaburan yang besar bagi menyediakan infrastruktur dan kemudahan berkaitan. Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pula menyatakan kesediaan negeri itu menjadi tuan rumah, namun kemampuan kewangan dan keperluan infrastruktur perlu diteliti terlebih dahulu.

Mengulas perkara itu, Dr Mahathir berkata beliau terpanggil untuk memberikan pandangan mengenai cadangan menghentikan penganjuran LIMA di Langkawi.

Menurutnya, isu berkenaan bukan semata-mata berkaitan perasaan, sebaliknya perlu dilihat dari sudut sama ada LIMA masih mempunyai nilai sebagai satu jenama antarabangsa yang mendapat sambutan.

Beliau berkata Malaysia telah mengambil masa berpuluh-puluh tahun untuk membangunkan LIMA sehingga pameran berkenaan dikenali di peringkat antarabangsa.

“Maknanya, kita sudah berusaha berpuluh tahun untuk menaikkan brand atau jenama LIMA di peringkat antarabangsa dan pada asasnya ia diterima,” katanya.

Baca juga:

Dr Mahathir berkata, antara bukti penerimaan terhadap LIMA ialah kehadiran syarikat-syarikat pertahanan antarabangsa yang mengambil bahagian dalam pameran tersebut.

Sehubungan itu, beliau berpandangan sebarang kekurangan dalam penganjuran LIMA perlu diperbaiki dan bukannya menyebabkan pameran berkenaan dihentikan atau dipindahkan.

“Jika kita dapati ada kekurangan dalam LIMA, maka kita perbaiki,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata sekiranya terdapat keperluan untuk menganjurkan pameran lain yang mempunyai skop lebih khusus dan tidak mampu ditampung oleh LIMA, pameran berasingan boleh diadakan.

“Jika ada keperluan besar untuk ada pameran lain yang berkaitan tetapi tidak mampu ditampung oleh LIMA, adakan pameran lain yang lebih targeted,” katanya.

Related Posts