Cafe Secangkir yang menjadi sebahagian daripada legasi Allahyarham Sofiya akan ditutup selepas keluarga memutuskan untuk tidak meneruskan operasi premis berkenaan.
Allahyarham Sofiya, 32, suaminya, Muhammad Nazatul Nazmi, 32, dan anak lelaki mereka berusia empat tahun maut dalam kemalangan membabitkan 11 kenderaan di Kilometer 110.4 Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), arah timur berhampiran Lanchang, Temerloh, kira-kira jam 10.55 malam pada 31 Ogos lalu. Tiga beranak itu dipercayai dalam perjalanan pulang ke Kuantan selepas menghadiri sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya.
Perkara itu dimaklumkan abang Allahyarham Sofiya menerusi satu kenyataan yang dikongsikan kepada umum, susulan pemergian tragis adiknya dalam kemalangan berkenaan.
Bukan keputusan mudah
Menurutnya, keputusan untuk menghentikan operasi cafe itu bukan sesuatu yang mudah, namun keluarga merasakan ia adalah langkah terbaik selepas pemergian Allahyarham Sofiya.
“Sayang seribu kali sayang, tapi terpaksa juga kerana nyawa dan roh di cafe tersebut sudah tiada,” katanya.
Beliau berkata, pihak keluarga juga tidak mempunyai kepakaran untuk menghasilkan semula kek yang sebelum ini dihasilkan Allahyarham Sofiya, memandangkan setiap kek mempunyai keunikan dan kelainan tersendiri pada setiap minggu.

Baca juga:
- Secangkir Cafe ditutup, jualan terakhir hari ini
- Luahan isteri Loe Solo sempena ulang tahun perkahwinan ke-10
- Terengganu terima dua tetamu istimewa, ‘Raja Penyu’ dan Sulong Chalil
Sehubungan itu, Cafe Secangkir akan dibuka buat kali terakhir hari ini, Jumaat, 4 September, bermula jam 3 petang hingga 9 malam sahaja.
Hanya kopi dan kek dijual
Untuk jualan terakhir itu, pihak cafe memaklumkan hanya kopi dan kek akan dijual, dengan jumlah stok yang terhad.
Bagi kek, pelanggan dihadkan kepada satu keping bagi setiap pelanggan, manakala bekalan kopi pula terhad kepada 300 cawan sahaja.
Dalam pada itu, keluarga turut memaklumkan mereka akan melelong segala stok dan perkakasan kedai, dengan gambar barangan yang masih tersedia akan dikongsikan kepada orang ramai pada hari jualan terakhir.
Menurut abang Allahyarham, hasil jualan itu, Insya-Allah, akan digunakan bagi menyelesaikan sekiranya masih terdapat hutang atau perkara tertunggak yang ditinggalkan Allahyarham Sofiya.
Beliau turut mengakui keputusan untuk menamatkan operasi Cafe Secangkir adalah sesuatu yang amat berat buat keluarga, sebelum merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang pernah memberikan sokongan kepada cafe berkenaan sejak awal penubuhannya.
“Berat, sangat berat keputusan ini tapi kami rasa itulah yang terbaik. Jadi terima kasih kepada semua yang pernah support Cafe Secangkir dari awal dan esok adalah hari terakhir legasi Secangkir,” katanya.
Keluarga Allahyarham turut memohon orang ramai membantu menyebarkan maklumat mengenai jualan terakhir itu, selain memohon maaf atas keputusan untuk menamatkan operasi Cafe Secangkir.









