Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Satu video tular di media sosial memaparkan gelagat tiga ekor gajah tular yang dikenali sebagai Dara, Kelat dan Amoi yang kini berada di Zoo Tennoji, Osaka, Jepun selepas dipindahkan dari Malaysia pada 10 Mac lalu.
Menerusi rakaman video berkenaan, seorang pelancong wanita bersama beberapa pengunjung dilihat memanggil nama ketiga-tiga gajah tersebut. Tindakan itu mendapat respon daripada haiwan berkenaan apabila ketiga-tiganya dilihat menggerakkan telinga seolah-olah mengenali panggilan nama mereka. Situasi tersebut mencetuskan suasana sayu dalam kalangan pengunjung yang hadir.
Dalam video sama, Dara, Kelat dan Amoi turut kelihatan sedang bermain di dalam sebuah kolam buatan yang disediakan di kawasan zoo berkenaan. Gelagat mereka yang kelihatan tenang dan aktif menarik perhatian ramai penonton dalam talian.
Perkongsian video itu turut mengundang rasa sebak dalam kalangan netizen di Malaysia yang mengakui merindui kelibat dan telatah tiga ekor gajah berkenaan.
Baca juga:
- Tular video Dara, Kelat dan Amoi di Jepun, undang sebak netizen
- Syukri Bazli, penderma organ keempat 2026 terima ‘Walk of Honor’ di HSNZ
- Photoshoot bunga api pengantin cetus gangguan penduduk
Sebelum ini, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dilaporkan memberi tempoh tiga hari kepada Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup untuk mengeluarkan kenyataan rasmi berkaitan usaha membawa pulang ketiga-tiga gajah tersebut ke Malaysia.
Memetik laporan Sinar Harian, Pengerusi Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara (SBKB), Datuk S Kalai menegaskan bahawa bahawa berdasarkan dokumen kesihatan, sejarah dan asal-usul haiwan tersebut, ketiga-tiganya dibesarkan di Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah sejak kecil dan bukannya berasal dari Zoo Taiping seperti yang didakwa sebelum ini.
Menurut beliau lagi, Kelat yang merupakan gajah jantan turut mengalami kecederaan pada bahagian kaki serta gading dan perkara itu menimbulkan persoalan dalam kalangan pihak tertentu.
SBKB turut menuntut penjelasan rasmi yang lebih terperinci mengenai punca sebenar kecederaan tersebut sama ada berpunca daripada kemalangan, tekanan, kecuaian atau faktor lain termasuk kemungkinan campur tangan manusia.
Terdahulu, pemindahan tiga ekor gajah itu merupakan sebahagian daripada kerjasama dua hala yang telah dirancang sejak tahun 2022 dan diselaraskan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).
Amoi yang berusia sembilan tahun, 14 tahun bagi Dara dan Kelat, 20 tahun telah dipindahkan ke Zoo Tennoji, Osaka pada 10 Mac lalu menerusi satu penerbangan khas.
Mereka dipindahkan sebagai sebahagian daripada Program Konservasi Gajah Malaysia yang bertujuan untuk tujuan pembiakan serta penyelidikan.









