Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pemergian Allahyarham Muhammad Syukri Bazli, 31, bukan sahaja meninggalkan kesedihan kepada keluarga, malah turut menyelamatkan beberapa nyawa apabila dia menjadi penderma organ keempat bagi tahun 2026 di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Menurut sahabat arwah, Ahmad Nazrul, Allahyarham disahkan mengalami mati otak selepas serangan jantung sebelum proses pendermaan organ dijalankan dengan keizinan penuh keluarga.
Sebelum pembedahan, satu ‘walk of honor’ telah diadakan dari wad ICU ke dewan bedah sebagai penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
Organ-organ yang didermakan
Menurut Ahmad Nazrul, proses pengambilan organ telah dijalankan pada waktu pagi dan selesai sepenuhnya sekitar jam 1 tengah hari. Antara organ yang didermakan ialah hati, dua buah pinggang, tulang dan kulit. Hati telah dihantar ke Hospital Tuanku Azizah, Kuala Lumpur untuk seorang kanak-kanak, manakala satu buah pinggang dihantar ke Hospital Selayang dan satu lagi ke Universiti Malaya untuk pesakit yang sedang menjalani dialisis akibat diabetes.
“Pembedahan pengambilan tulang dan kulit turut dijalankan. Tulang tersebut akan digunakan untuk prosedur ‘bone graft’ bagi pesakit kemalangan, pesakit kanser tulang dan masalah tulang belakang, manakala kulit digunakan untuk ‘skin graft’ bagi pesakit melecur teruk serta pembedahan rekonstruktif.
“Selepas proses pendermaan organ selesai, penggantian sementara (prostetik) dilakukan bagi mengekalkan bentuk fizikal jenazah,” katanya.
Jenazah Allahyarham Muhammad Syukri selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Peroh, Ajil sekitar jam 9.30 malam pada Sabtu.
Allahyarham Muhammad Syukri Bazli meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak, termasuk seorang anak OKU, dan pemergiannya meninggalkan kesedihan mendalam kepada keluarga serta rakan-rakan, namun pada masa yang sama memberi harapan hidup kepada beberapa pesakit melalui pendermaan organ tersebut.








