Seorang wanita meluahkan rasa berang apabila sekumpulan individu yang terdiri daripada pasangan pengantin, jurugambar serta beberapa individu lain bertindak memasang mercun pada lewat tengah malam di kawasan parkir berhampiran sebuah apartmen di Setia Alam pada Sabtu.
Menurut luahan yang tular, kejadian itu berlaku sekitar jam 12.50 tengah malam, waktu di mana kebanyakan penduduk sedang tidur dan berehat bersama keluarga. Namun, suasana tenang bertukar bising apabila bunyi mercun dan bunga api dipasang tanpa menghiraukan sensitiviti orang sekeliling.
Dia turut mendakwa tindakan itu bukan sahaja mengganggu ketenteraman, malah memberi kesan kepada anak kecil yang sedang tidur.
“Main mercun pagi buta pukul 12.50 tengah makam buat photoshoot kahwin. Anak nak tidurla, ” katanya.
Difahamkan, lokasi kejadian adalah di kawasan parkir berhampiran sebuah laluan hiking bersebelahan apartmen.
Baca juga:
- Bidan tersalah alamat disangka penjenayah, cetus kekecohan di Bandar Scientex
- Bangunan bertingkat didiami Rohingya di Sungai Makau akan diroboh ikut undang-undang
- Aduan ugutan jenayah Albert Tei terhadap Azam Baki diklasifikasikan sebagai NFA
Rata-rata penduduk berharap agar pihak terlibat lebih bertanggungjawab serta peka terhadap komuniti setempat, selain mengelakkan kejadian sama berulang pada masa akan datang.
Bagaimanapun, wanita berkenaan mendakwa gangguan bunyi mercun sekali lagi berlaku pada malam berikutnya, kali ini sekitar jam 2 pagi.
“Gangguan bunyi mercun pukul 2 pagi di Debayu Setia Alam buat kali kedua. Sebelum ini kes pengantin, kali ini macam datang semula pula. Mohon pihak berkenaan ambil tindakan tegas kerana ia jelas mengganggu ketenteraman penduduk. Kali kedua kami terkejut beramai-ramai,” katanya.
Sumber: psbyhunnyrara








