Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur menolak rayuan Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad, sekali gus mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang memerintahkan beliau membayar ganti rugi RM750,000 kepada tiga pemimpin DAP kerana kes fitnah.
Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, bersama Datin Paduka Evrol Mariette Peters dan Datuk Seri Latifah Mohd Tahar selepas mendapati rayuan berkenaan tidak mempunyai sebarang merit.
Dalam penghakimannya, Datuk Ahmad Kamal menyatakan bahawa mahkamah menolak rayuan tersebut kerana ia tidak mempunyai asas yang kukuh, sekali gus mengekalkan sepenuhnya keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang bertarikh 4 Disember 2024.
Mahkamah turut menolak rayuan balas yang difailkan oleh tiga pemimpin DAP berkenaan yang sebelum ini meminta jumlah ganti rugi dinaikkan.
Baca juga:
- Siti Mastura gagal rayuan kes fitnah pemimpin DAP
- Lelaki maut, lima ahli keluarga cedera kereta terjunam gaung
- Dari gurauan jadi kenyataan, lelaki sahut cabaran TokTi joging 8KM
Latar belakang kes fitnah
Kes ini membabitkan dakwaan fitnah yang dibuat oleh Siti Mastura terhadap tiga pemimpin DAP iaitu veteran parti Tan Sri Lim Kit Siang, anaknya Lim Guan Eng, serta Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim.
Beliau didakwa mengaitkan ketiga-tiga pemimpin itu dengan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng, melalui dakwaan hubungan kekeluargaan dalam satu ceramah politik di Kemaman, Terengganu pada 4 November 2023.
Keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang memutuskan bahawa Siti Mastura perlu membayar ganti rugi berjumlah RM750,000 secara keseluruhan, iaitu RM300,000 kepada Lim Kit Siang, RM250,000 kepada Lim Guan Eng dan RM200,000 kepada Teresa Kok.
Hakim Quay Chew Soon turut memerintahkan beliau membayar kos RM25,000 kepada setiap plaintif serta faedah lima peratus setahun bermula dari tarikh penghakiman.
Bayaran telah diselesaikan
Difahamkan, pada 23 Januari tahun lalu, Siti Mastura telah menyelesaikan bayaran sebanyak RM830,034.75 dalam bentuk ganti rugi, kos guaman dan faedah kepada ketiga-tiga plaintif.
Sumber: Berita Harian, FMT









