Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang tukang rumah yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mengugut pelawak Harith Iskander dan keluarganya dihukum penjara lima bulan serta denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Tertuduh, Izzuddin Md Salim, 30, menerima hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret S Mageswary. Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 24 Januari lalu, selain penjara sebulan jika gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, Izzuddin menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp yang mengandungi ugutan kepada bekas isteri Harith, Dr Jezamine Lim, 42. Mesej itu dibaca oleh Jezamine di sebuah restoran nasi lemak sekitar jam 8.50 pagi pada 23 Januari lalu, membabitkan keselamatan anak perempuan mereka.
Ancaman itu dipercayai bermula selepas Harith memuat naik hantaran di media sosial berkaitan topik ham, yang kemudian mengundang pelbagai reaksi netizen. Isu itu bertambah tegang apabila segelintir pihak mendakwa ia membuka ruang kepada penghinaan agama.
Akibatnya, pelawak itu terpaksa membatalkan persembahan ‘Punchline: Harith Iskander 35 Years of Laughter’ di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) kerana bimbang dengan keselamatan keluarganya.
Susulan laporan yang dibuat oleh pengurus Harith, yang juga bekas isterinya, pihak polis bertindak menahan tertuduh pada 24 Januari lalu bagi membantu siasatan.
Ketika rayuan, Izzuddin menyatakan bahawa tindakannya sekadar untuk mempermainkan perasaan Harith dan bukan bertujuan mencederakan sesiapa.
“Saya tiada niat lain, saya mohon maaf kepada keluarga mangsa,” katanya.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sumber: Sinar Harian, Harian Metro








