Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump mendakwa bahawa tentera Amerika kini menguasai sepenuhnya ruang udara di atas Iran sambil memberi amaran keras kepada pemimpin tertinggi negara itu.
Dalam satu ciapan yang dimuat naik di media sosial miliknya, Trump menyatakan keyakinannya terhadap keupayaan teknologi ketenteraan Amerika, menyifatkannya sebagai jauh lebih baik berbanding sistem pertahanan milik Iran.
“Kami kini mempunyai kawalan sepenuhnya terhadap ruang udara di atas Iran. Iran mempunyai sistem penjejak langit dan peralatan pertahanan yang baik serta banyak, tetapi ia tidak setanding dengan barangan buatan, ciptaan dan keluaran Amerika. Tiada siapa yang boleh menandingi Amerika Syarikat,” tulisnya.
Trump turut mendakwa bahawa Amerika mengetahui lokasi persembunyian pemimpin tertinggi Iran yang digelarnya sebagai “so-called Supreme Leader”, dan menyifatkan tokoh tersebut sebagai sasaran yang mudah.
“Kami tahu dengan tepat di mana ‘Pemimpin Tertinggi’ yang kononnya itu sedang bersembunyi. Dia adalah sasaran yang mudah, tetapi selamat di situ. Kami tidak akan ambil tindakan padanya buat masa ini,” katanya.
Bagaimanapun, Trump turut memberi amaran keras kepada Iran agar tidak melancarkan sebarang serangan terhadap orang awam atau anggota tentera Amerika Syarikat.
“Kami tidak mahu peluru berpandu dilancarkan ke arah orang awam atau askar Amerika. Kesabaran kami semakin menipis. Terima kasih atas perhatian anda terhadap perkara ini!” katanya lagi.








