'Bayar gaji, urus ikut kemampuan' – Teguran tegas TMJ terhadap isu pengurusan Liga-M | The Reporter

‘Bayar gaji, urus ikut kemampuan’ – Teguran tegas TMJ terhadap isu pengurusan Liga-M

TMJ tegur pengurusan Liga-M
Sumber Gambar: Facebook HRH Crown Prince of Johor

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menzahirkan teguran tegas terhadap pengurusan kewangan kelab-kelab Liga Malaysia (Liga-M) yang masih dibelenggu isu tunggakan gaji dan menyeru agar pengurusan kelab bola sepak lebih bertanggungjawab dalam aspek kewangan dan pengurusan pasukan.

Menerusi satu kenyataan ringkas di media sosial, baginda turut menekankan kepentingan melantik individu yang benar-benar berpengetahuan serta mempunyai minat mendalam dalam dunia bola sepak bagi memastikan kelab diurus secara profesional dan berhemah.

“Apa susah? Bayar gaji, dan jangan belanja lebih daripada kemampuan. Cari orang yang minat dan faham bola menguruskan kelab bola sepak. Belanja secara berhemah. Contohi Kuching FC dan Selangor FC,” titah baginda.

Kenyataan ini hadir susulan gesaan daripada Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim, yang menyarankan semua pihak berkepentingan termasuk Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk membangunkan satu kerangka baharu demi memastikan kelangsungan dan kestabilan kewangan setiap pasukan dalam Liga-M.

Menjejaskan kredibiliti pasukan

Memetik laporan dari Berita Harian, Adam Adli berkata, tunggakan gaji yang terus berlaku dari musim ke musim bukan sahaja merencatkan pembangunan bola sepak negara, malah menjejaskan kredibiliti pasukan serta mengecewakan penyokong setia kelab masing-masing.

“Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memandang serius isu tunggakan gaji dan ia satu perkara yang amat merugikan sekiranya sebuah kelab bola sepak itu tidak mampu bersaing dalam liga dan pastinya akan mengecewakan peminat serta penyokong kelab dari negeri masing-masing,”katanya.

Antara cadangan yang dikemukakan termasuklah mencari sumber dana baharu, mempergiatkan penajaan serta meningkatkan pendapatan menerusi penjualan barangan kelab seperti cenderahati rasmi.

“Kita mahu sukan bola sepak dalam negara kita mampu lahirkan lebih ramai pemain profesional dan untuk itu satu kerangka baharu seperti mencari dana, penajaan atau menambah pendapatan pasukan menerusi penjualan cenderahati perlu diwujudkan bagi memastikan setiap pasukan dapat bergerak sekali gus boleh menjamin kelangsungan dalam saingan liga bola sepak tempatan,” katanya.

Related Posts