Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing menegur pihak yang terus mempolitikkan kerjasama kementeriannya dengan Starbucks sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), sambil menegaskan tindakan itu tidak membawa sebarang manfaat kepada negara.
Menurut beliau, kerjasama tersebut adalah sebahagian daripada usaha promosi dan kementeriannya terbuka menjalinkan kolaborasi dengan mana-mana syarikat untuk menarik lebih ramai pelancong.
“Hari-hari buat politik. Ini tidak buat keuntungan pada negara. Kita nak pelancong atau tak nak?” katanya semasa sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026.
Baca juga:
- Bangunan bertingkat didiami Rohingya di Sungai Makau akan diroboh ikut undang-undang
- Aduan ugutan jenayah Albert Tei terhadap Azam Baki diklasifikasikan sebagai NFA
- MPKj sahkan binaan haram di Sungai Makau, keluarkan notis penguatkuasaan
Tiong turut menjelaskan bahawa selain Starbucks, terdapat banyak lagi kolaborasi lain dijalankan bersama jenama berbeza, namun hanya kerjasama dengan Starbucks menjadi sasaran kritikan.
Beliau memberi contoh formula yang melibatkan produk seperti Danish Butter Cookies dan minyak wangi halal yang turut bekerjasama dengan kementerian, tetapi tidak dipertikaikan seperti Starbucks.
Pada 2 Oktober lalu, Starbucks Malaysia dan Tourism Malaysia melancarkan kerjasama strategik bertemakan ‘Surreal Experiences’ bagi mempromosikan TMM2026. Namun, ia mendapat bantahan susulan gesaan boikot terhadap Starbucks yang dikaitkan dengan dakwaan hubungan syarikat itu dengan Israel dalam konteks konflik Gaza.
Sumber: Free Malaysia Today








