Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Susulan insiden anak Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, dicucuk jarum oleh individu tidak dikenali, seorang doktor perubatan dikenali sebagai Dr Hadi tampil berkongsi panduan penting mengenai langkah segera yang perlu diambil sekiranya perkara sama berlaku kepada anak atau ahli keluarga.
Menurut beliau, tercucuk jarum suntikan walaupun secara tidak sengaja boleh menyebabkan panik, namun tindakan pantas dan betul mampu mengurangkan risiko jangkitan.
“Pertama sekali, jangan picit atau hisap tempat yang tercucuk,” tegasnya.
Tindakan itu jelas beliau, boleh meningkatkan risiko kuman masuk ke dalam aliran darah. Sebaliknya, kawasan luka perlu segera dicuci dengan air bersih dan sabun, kemudian ditekan perlahan-lahan untuk menghentikan pendarahan.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak menggunakan bahan yang boleh menyebabkan iritasi seperti alkohol pekat secara terus pada luka dan segera mendapatkan nasihat doktor.
“Terus dapatkan nasihat doktor segera terutama kalau jarum itu digunakan pada pesakit yang berisiko tinggi penyakit berjangkit seperti HIV atau hepatitis.
“Doktor mungkin akan mencadangkan ujian darah dan rawatan pencegahan supaya jangkitan dapat dikawal lebih awal. Sesetengah klinik juga menawarkan ubat antiretroviral (PEP) yang perlu diambil seawal satu hingga dua jam, maksimum 72 jam,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan supaya tidak mengabaikan sebarang gejala seperti demam atau bengkak pada kawasan terlibat.
“Paling penting, jangan panik dan ambil serius perkara ini. Tindakan cepat dan betul boleh selamatkan nyawa dan elakkan komplikasi jangka panjang,” katanya.








