Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai atau staf yang terlibat dengan aktiviti songsang, sama ada di MARA mahupun di Institusi Pendidikan MARA (IPMa).
Menurut beliau, pengurusan MARA sudah jelas memahami pendiriannya yang tegas dalam hal melibatkan salah laku moral.
“Jika ada pegawai atau staf MARA atau di mana-mana IPMa terlibat dengan aktiviti songsang, tindakan keras sehingga dibuang kerja wajib diambil,” katanya.
Asyraf Wajdi turut mendedahkan semasa beliau pernah mempengerusikan Jawatankuasa Tatatertib Majlis MARA sebelum ini, beberapa kes melibatkan pegawai berperangai songsang telah dikenakan tindakan buang kerja tanpa kompromi.
“Pernah beberapa kes melibatkan pegawai berperangai songsang dan melakukan aktiviti songsang yang kami putuskan untuk dibuang kerja tanpa kompromi atau kasihan belas,” ujarnya.
Baca juga:
- Tun Mahathir, Siti Hasmah cipta rekod ASEAN dan Asia
- Warga emas maut disambar buaya ketika cari siput, anak saksikan detik tragis
- ‘Hampir 99% ke Mekah’- MP Langkawi dedah kisah pemilihan parti ketika bahas RCI TH
Beliau menegaskan bahawa MARA tidak akan membiarkan golongan pendidik atau pegawai yang berakhlak songsang membentuk masa depan pelajar serta anak bangsa di bawah seliaan institusi itu.
“Mana mungkin anak bangsa yang sedang dididik dan dibimbing oleh MARA dicorakkan oleh cikgu, pensyarah atau pegawai berpekerti songsang,” tambahnya.
Terdahulu, 201 individu termasuk 17 penjawat awam ditahan di sebuah premis di Chow Kit, disyaki terlibat dalam kegiatan tidak bermoral.








