Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kementerian Perpaduan menegaskan bahawa sebarang bentuk keganasan, provokasi agama, kebencian atau tindakan melampau yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama adalah tidak boleh diterima sama sekali. Keharmonian negara tidak boleh digadai oleh tindakan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab.
Menurut Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang, tiga insiden terkini yang menimbulkan kebimbangan masyarakat termasuk pembakaran tiga kenderaan milik aktivis masyarakat, Cikgu Chandra, tularnya video seorang lelaki merosakkan simbol suci agama Hindu, Trisul dan serangan terhadap pendakwah bebas, Zamri Vinoth.
Sehubungan dengan itu, beliau menyeru pihak berkuasa agar menjalankan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat, selaras dengan peruntukan undang-undang.
“Tindakan terhadap golongan pelampau yang cuba menggugat keamanan negara mesti dilaksanakan tanpa kompromi,” katanya.
Baca juga:
- Pejabat Menteri nafi dakwaan palsu Mohamad Sabu galak penjawat awam tanam ganja
- Langgar lari polis trafik: Inspektor ditahan, sedang jalani rawatan kesihatan
- Jabatan Penjara siasat video tular tahanan reman lolos di Penjara Sungai Buloh
Selain itu, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia agar tidak bertindak secara beremosi, tidak menyebarkan spekulasi, dan sentiasa berhemah dalam memberikan reaksi terhadap isu sensitif, khususnya di media sosial.
“Perbezaan pandangan harus ditangani melalui saluran yang betul serta berlandaskan undang-undang.
“Malaysia dibina atas asas perpaduan, saling menghormati, dan kefahaman antara agama serta budaya. Nilai-nilai ini mesti terus dipertahankan oleh setiap lapisan masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Perpaduan Negara menegaskan akan terus bekerjasama rapat dengan agensi keselamatan, pemimpin masyarakat serta pertubuhan antara agama bagi memastikan keharmonian, keamanan dan kestabilan negara sentiasa terpelihara.








