'Parlimen bukanlah one-man show' - Syed Saddiq bidas pembangkang | The Reporter

‘Parlimen bukanlah one-man show’ – Syed Saddiq bidas pembangkang

Syed Saddiq ketika berbahas mengenai isu Tabung Haji di Dewan Rakyat
Syed Saddiq ketika berbahas isu Tabung Haji pada persidangan Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menegaskan ahli Parlimen pembangkang tidak sepatutnya memboikot perbahasan berkaitan Tabung Haji, sebaliknya menggunakan ruang di Parlimen untuk membahaskan isu berkenaan berdasarkan fakta dan data.

Beliau berkata, Perdana Menteri perlu menjawab segala kritikan yang dibangkitkan apabila kembali sihat, namun keadaan kesihatan seorang Perdana Menteri tidak seharusnya menyebabkan tanggungjawab lebih 200 ahli Parlimen yang lain terhenti.

“Parlimen bukanlah one-man show. Kalau Perdana Menteri sakit, kita yang sihat, walafiat perlu terus menjalankan tanggungjawab,” katanya sewaktu Sidang Khas laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH di Dewan Rakyat.

Menurutnya, terdapat kritikan yang sah berhubung cara kerajaan menguruskan negara serta pelan pemulihan Tabung Haji, namun perkara itu seharusnya dibahaskan dan dipersoalkan di Dewan Rakyat, bukannya melalui tindakan memboikot.

Baca juga:

Syed Saddiq berkata, tindakan tidak menjalankan tugas semak dan imbang sebagai ahli Parlimen amat mengecewakan, terutama apabila wakil rakyat menerima gaji, pencen serta pelbagai elaun untuk memainkan peranan tersebut.

Beliau menegaskan, Tabung Haji bukan milik mana-mana Perdana Menteri atau parti politik, sebaliknya merupakan institusi yang berkait secara langsung dengan lebih 10 juta pendeposit umat Islam.

“Kalau ada fakta, bahas. Kalau ada salah, bongkarkan,” katanya sambil menyifatkan tindakan pembangkang yang lantang membawa nama Melayu dan Islam tetapi memilih untuk memboikot perbahasan Tabung Haji sebagai sesuatu yang amat malang.

Related Posts