Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Isu kebajikan tiga ekor gajah Malaysia, Dara, Amoi dan Kelat yang kini berada di Jepun, menjadi antara perkara utama yang diberi perhatian oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan bersama pengurusan tertinggi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).
Perdana Menteri memaklumkan bahawa beliau mengambil serius kebimbangan rakyat berhubung keadaan tiga haiwan berkenaan, sambil menegaskan bahawa kebajikan Dara, Amoi dan Kelat mesti menjadi keutamaan pihak NRES serta Zoo Taiping. Beliau berkata, sebarang keputusan dan tindakan berkaitan perlu dilaksanakan berasaskan fakta serta mengambil kira kepentingan terbaik haiwan tersebut.
“Pengurusan NRES turut membangkitkan isu Dara, Amoi dan Kelat, tiga gajah kita yang kini berada di Jepun. Saya mengambil maklum kebimbangan rakyat dan menegaskan bahawa kebajikan haiwan ini mesti menjadi keutamaan NRES dan Zoo Taiping.
Menurut beliau, maklumat yang telus dan berfakta juga perlu disalurkan secara berterusan kepada orang ramai bagi memastikan rakyat mendapat gambaran sebenar mengenai keadaan ketiga-tiga gajah itu di luar negara.
“Sebarang keputusan dan tindakan perlu dilaksanakan berasaskan fakta serta mengambil kira kebajikan terbaik Dara, Amoi dan Kelat. Maklumat yang telus dan berfakta perlu disalurkan secara berterusan agar rakyat mendapat gambaran sebenar mengenai keadaan mereka di sana,” jelasnya.
Baca juga:
- Pendakwah tegur video tular pempengaruh review makanan
- Wanita warga emas maut dipercayai ditetak
- Muhammad Faris Johari dilantik Undang Luak Sungei Ujong baharu
Terdahulu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Arthur Joseph Kurup, menegaskan bahawa pihak Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) berpandangan cadangan untuk membawa pulang tiga gajah Malaysia Dara, Amoi dan Kelat dari Jepun mempunyai asas kukuh, khususnya apabila melibatkan kepentingan awam dan sensitiviti semasa rakyat Malaysia.
Sebelum ini, satu petisyen dalam talian telah dilancarkan oleh aktivis dan pencinta haiwan tempatan kini mendesak agar Dara, Amoi dan Kelat dibawa pulang ke Malaysia.
Petisyen tersebut menekankan kebimbangan terhadap kebajikan haiwan, kesesuaian habitat, serta kepentingan memelihara spesies gajah dalam konteks ekosistem tempatan. Ia juga mencerminkan sentimen rakyat yang melihat ketiga-tiga gajah itu sebagai sebahagian daripada warisan negara.
Difahamkan, petisyen berkenaan telah berjaya mengumpul 159,000 sokongan daripada orang ramai.








