Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Polis menahan tiga individu termasuk dua wanita bagi membantu siasatan berhubung kejadian tular melibatkan seorang wanita yang dipercayai diserang ketika sedang melakukan siaran langsung di dalam sebuah kereta, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, kejadian tersebut dipercayai berlaku sekitar jam 5.02 petang di hadapan sebuah rumah di Bandar Laguna Merbok.
Menurut beliau, semasa kejadian, mangsa berada di dalam kereta sebelum didatangi sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire yang dinaiki empat individu dikenali.
“Suspek kemudian bertindak menyerang pengadu dengan memukul muka, kepala dan badan sehingga menyebabkan kecederaan. Mereka turut mengambil dua telefon bimbit milik mangsa sebelum menghempaskannya ke jalan hingga rosak,” katanya.
Beliau berkata, motif kejadian masih dalam siasatan dan dua kertas siasatan telah dibuka bagi menyiasat insiden berkenaan.
Baca juga:
- IPG beri jaminan ambil tindakan tegas isu buli pelatih
- Ucapan anak Allahyarham Dr Aiman sentuh hati ramai
- PN ucap tahniah kepada Vijay, puji kemenangan TVK di Tamil Nadu
Setakat ini, polis telah menahan seorang lelaki berusia 30 tahun dan seorang wanita berusia 29 tahun bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 323 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Dalam perkembangan sama, seorang lagi individu yang ditahan ialah pengadu kes berusia 28 tahun, dan siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, kejadian itu tular di media sosial selepas rakaman siaran langsung memaparkan seorang wanita dipercayai diserang ketika berada di dalam kenderaan menjadi perhatian orang ramai.
Sumber: Sinar Harian








