Tiga beranak tertimbus dalam tanah runtuh di Ajil, dua maut - The Reporter

Tiga beranak tertimbus dalam tanah runtuh di Ajil, dua maut

tanah runtuh Kampung Bukit Apit
Sumber gambar: JBPM, Ghazali Kori (Harian Metro)

Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.


Dua remaja maut manakala seorang lagi cedera selepas terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Bukit Apit, Ajil, petang tadi.

Mangsa yang terkorban, Puteri Sajidah Azman, 16, dan adiknya, Siti Fatimah, 13, ditemukan masing-masing pada jam 6.32 petang dan 6.59 petang. Sementara itu, abangnya, Uzair, 17, ditemukan selamat pada jam 5.17 petang dan kini sedang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Hassan ‘As’ari Omar, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.59 petang. Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang dan Wakaf Tapai segera dikerahkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi menyelamat.

“Setibanya pasukan penyelamat, kami mendapati tiga mangsa tertimbus akibat tanah runtuh yang menghempap rumah mereka. Mangsa pertama ditemukan selamat sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan. Dua lagi mangsa ditemukan tertimbus di bawah runtuhan tanah di bahagian depan rumah,” katanya memetik laporan dari Harian Metro.

Tambah beliau, kedua-dua remaja perempuan yang terkorban adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Ajil. Mayat mereka telah diserahkan kepada pihak polis untuk dihantar ke Jabatan Forensik HSNZ bagi proses bedah siasat.

Difahamkan, kejadian itu turut melibatkan tiga rumah—satu didiami enam beranak dan dua lagi sedang dalam pembinaan. Namun, ibu mangsa dilaporkan tiada di rumah semasa kejadian berlaku.

Sementara itu, seorang jiran mangsa, Danial Arabi, 36, berkata, beliau terdengar suara meminta tolong selepas kejadian berlaku tetapi tidak dapat membantu kerana tidak mengetahui lokasi mangsa yang tertimbus.

“Saya segera menghubungi pihak polis dan bomba untuk melaporkan kejadian itu. Sebelum itu, saya hanya sempat melihat seorang mangsa yang terperangkap,” katanya.

Operasi mencari dan menyelamat membabitkan pelbagai agensi ditamatkan pada jam 7 malam. Hassan ‘As’ari turut menasihatkan penduduk berhampiran lereng bukit untuk berpindah buat sementara waktu kerana cuaca hujan lebat dijangka berterusan dan meningkatkan risiko kejadian sama.

Sumber: Harian Metro

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Copyright reserved!