Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Ramai orang mempunyai tabiat suka berjaga hingga lewat malam, sama ada untuk menonton rancangan kegemaran, bermain permainan video, atau menyelesaikan tugasan kerja. Namun, siapa sangka tabiat ini, yang kelihatan biasa bagi sesetengah orang, sebenarnya boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan mental jika dilakukan secara berterusan.
Kajian dari Stanford University mendapati tidur lewat selepas jam 1 pagi boleh meningkatkan risiko masalah kesihatan mental seperti kemurungan dan kebimbangan.
Ini berlaku tanpa mengira sama ada seseorang itu biasa berjaga malam atau bangun awal pagi.
Kajian ini melibatkan hampir 75,000 orang dewasa. Hasilnya menunjukkan mereka yang tidur lewat lebih berisiko mengalami gangguan mental, walaupun itu adalah kebiasaan mereka.
Penyelidik menyarankan agar orang ramai tidur lebih awal, iaitu sebelum jam 1 pagi, untuk menjaga kesihatan mental.
Menurut kajian ini, waktu tidur lebih penting daripada tabiat tidur seseorang. Malah, mereka yang tidur lewat didapati 20% hingga 40% lebih berisiko mendapat masalah mental berbanding mereka yang tidur awal.
Kajian ini diterbitkan dalam jurnal Psychiatry Research pada Mei 2024 dan turut dilaporkan oleh Stanford Medicine serta NBC Bay Area.
Penemuan ini menunjukkan betapa pentingnya waktu tidur dalam memastikan kesihatan mental yang baik. – Agensi








