Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menitahkan agar operasi penternakan babi di kawasan Tanjong Sepat, Kuala Langat, hendaklah dihentikan secara beransur-ansur dan dipindahkan sepenuhnya ke Bukit Tagar.
Baginda menekankan bahawa pemindahan ini mesti dijalankan mengikut perancangan yang tersusun serta mematuhi semua peraturan dan undang-undang berkaitan.
Perkara berkenaan dibincangkan semasa sesi menghadap bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Yang Berhormat Dato’ Ir. Izham Hashim, dan Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Selangor, Yang Berhormat Dato’ Ng Suee Lim, di Istana Bukit Kayangan.
Dalam pada itu, baginda turut memerintahkan kajian dan bancian menyeluruh dilaksanakan bagi mengenal pasti keperluan serta permintaan daging babi khusus untuk rakyat bukan Islam di Selangor. Baginda menegaskan bahawa tiada perancangan untuk mengeksport hasil penternakan tersebut dan dapatan kajian ini akan menjadi asas bagi menentukan skala, kapasiti, dan keluasan operasi penternakan di Bukit Tagar agar kekal terkawal.
Baca juga:
- Anak didakwa bunuh ibu, berdepan hukuman mati
- Rumah Ibadat: Patuhi undang-undang, jangan politikkan isu agama – YDPA
- Sabun tular berasaskan khinzir tidak dipersijilkan halal JAKIM
Selain itu, Baginda menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Selangor tidak akan menyediakan sebarang peruntukan kewangan atau pelaburan untuk mana-mana operasi penternakan babi, termasuk di Bukit Tagar dan semua urusan hendaklah dijalankan tanpa melibatkan dana awam.
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berharap semua pihak terlibat melaksanakan ketetapan ini dengan penuh tanggungjawab, berhemah, dan mematuhi undang-undang bagi memastikan kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar, serta keharmonian masyarakat berbilang kaum di Negeri Selangor terus terpelihara.
Terdahulu, Sultan Selangor menzahirkan rasa amat dukacita dan tidak bersetuju dengan keputusan Kerajaan Negeri Selangor yang membenarkan operasi penternakan babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat bermula tahun ini sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada tahun 2030.
Baginda berpandangan, perancangan penternakan babi secara berskala besar dan berorientasikan eksport adalah tidak wajar, tidak sensitif serta tidak seimbang dengan realiti demografi dan keharmonian masyarakat Selangor yang majoritinya terdiri daripada orang Melayu Islam.








