Sultan Selangor dukacita, tidak setuju penternakan babi berskala besar | The Reporter

Sultan Selangor dukacita, tidak setuju penternakan babi berskala besar

Sultan Selangor menzahirkan pandangan terhadap cadangan penternakan babi berskala besar di Kuala Langat, Selangor.
Gambar: Facebook Selangor Royal Office.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa amat dukacita dan tidak bersetuju dengan keputusan Kerajaan Negeri Selangor yang membenarkan operasi penternakan babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat bermula tahun ini sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada tahun 2030.

Baginda berpandangan, perancangan penternakan babi secara berskala besar dan berorientasikan eksport adalah tidak wajar, tidak sensitif serta tidak seimbang dengan realiti demografi dan keharmonian masyarakat Selangor yang majoritinya terdiri daripada orang Melayu Islam. Secara prinsipya, Baginda akur dengan kewujudan penternakan babi berskala kecil dan terkawal bagi memenuhi keperluan masyarakat bukan Islam. Namun perancangan berskala besar menimbulkan kebimbangan serius.

Sultan Selangor turut menzahirkan keprihatinan terhadap penduduk Melayu di Kuala Langat yang sejak sekian lama terkesan dengan masalah pencemaran bau, air sungai dan gangguan lalat akibat aktiviti penternakan babi, yang masih gagal diselesaikan sepenuhnya sejak lebih sedekad lalu.

“Penduduk sekitar telah lama menanggung pelbagai kesan negatif termasuk bau busuk yang berlarutan, pencemaran air sungai, serta masalah lalat yang tidak berkesudahan, yang menjejaskan kualiti hidup dan kesihatan awam,” titah baginda.

Baginda menegaskan bahawa Istana Pantai Bahagia yang menjadi kediaman Baginda juga terletak di Kuala Langat dan Baginda sendiri merasai kesan pencemaran tersebut yang berpunca daripada aktiviti penternakan babi di kawasan berkenaan.

“Justeru, adalah tidak munasabah untuk isu yang berlarutan lebih sedekad ini dibiarkan berulang dalam skala yang lebih besar,” titah Baginda.

Baca juga:

Baginda juga mengusulkan kepada wakil-wakil rakyat untuk tinggal dan menetap bersebelahan kawasan penternakan babi seperti di Kuala Langat serta menempuh sendiri pengalaman sebenar seperti yang dialami oleh penduduk sekitar.

Selain itu, Baginda mempersoalkan kemungkinan wujud kepentingan pihak tertentu serta unsur konflik kepentingan, rasuah atau ketirisan tadbir urus dalam perancangan projek berkenaan.

Sultan Selangor menegaskan pembangunan ekonomi tidak boleh mengorbankan kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar dan keharmonian masyarakat, serta mengingatkan Kerajaan Negeri supaya bertindak dengan amanah, telus dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat Selangor.

“Kerajaan Negeri hendaklah bertindak dengan amanah, telus dan bertanggungjawab, serta mengutamakan kepentingan rakyat melebihi segala kepentingan lain,” menurut titah tersebut.

Related Posts