Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menitahkan agar tindakan tegas diambil terhadap sebarang aktiviti yang melibatkan penganjuran program dikenali sebagai “Glamping with Pride” yang dikaitkan dengan aktiviti tidak bermoral yang didakwa akan diadakan pada 17 dan 18 Januari 2026 di Hulu Langat, Selangor.
Titah tersebut dizahirkan ketika Baginda berkenan menerima menghadap Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), YAD Senator Dato’ Setia Salehuddin Saidin serta Sahibus Samahah Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, YAD Dato’ Setia Dr. Anhar Opir di Istana Bukit Kayangan, di sini.
Baginda menzahirkan tentangan dan bantahan keras terhadap sebarang penganjuran aktiviti songsang di dalam Negeri Selangor, serta menegaskan bahawa perkara sedemikian tidak boleh diterima sama sekali.
Baca juga:
- ‘Lu bos ke, gua bos?’ – Lelaki ditahan selepas menyerang MPP Seputeh
- Kumpulan hak asasi haiwan gesa MBS hentikan program serah anjing terbiar
- Tindakan spontan lelaki selamatkan dua kanak-kanak dalam kebakaran raih pujian
Menurut Baginda, walaupun perbuatan tersebut melibatkan dosa individu dengan Allah SWT dan melangkaui batas fitrah manusia, namun kesannya tidak hanya terhad kepada pelaku semata-mata.
Sebaliknya, Baginda bertitah bahawa perbuatan tersebut boleh mengundang kemurkaan serta laknat Allah SWT ke atas negeri ini sekiranya tidak dibendung dan ditangani dengan sewajarnya.
Sehubungan itu, Sultan Selangor menegaskan agar pihak berkuasa agama dan agensi berkaitan mengambil langkah sewajarnya serta bertindak tegas selaras dengan peruntukan undang-undang dan tanggungjawab menjaga kesucian agama Islam di Selangor.








