Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang lelaki daripada komuniti Orang Asli tampil menyuarakan teguran secara berhemah susulan penularan sebuah video oleh seorang pempengaruh media sosial yang melawat kampung Orang Asli suku Batek di Pahang baru-baru ini.
Lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Ayrie menzahirkan penghargaan kepada pempengaruh berkenaan kerana sudi datang dan memperlihatkan suasana serta kehidupan masyarakat Orang Asli, namun menegaskan bahawa adab sebagai tetamu perlu diutamakan.
“Kami Orang Asli dari dulu menerima sesiapa sahaja yang datang ke kampung kami sebagai tetamu, tetapi datanglah dengan niat yang hormat,” katanya.
Menurut Ayrie, rakaman dan perkongsian di media sosial seharusnya dibuat dengan niat untuk memahami kehidupan masyarakat setempat, bukan menonjolkan kekurangan atau perbezaan budaya sebagai tontonan umum.
“Jangan datang dengan mentaliti mahu menunjukkan apa yang dilihat, tetapi fahamilah apa yang kami lalui,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa kesan sebenar bukan hanya terletak pada kandungan video, tetapi juga pada komen netizen yang tercetus selepas ia disiarkan, yang boleh mengguris perasaan dan membuka ruang kepada penghinaan terhadap komuniti tertentu.
“Apabila video disiarkan, komen-komen mula muncul. Ada yang mentertawakan, ada yang mengiyakan, dan ada pula yang menambah kata-kata yang lebih menyakitkan. Di situlah luka sebenar berlaku. Kerana satu ayat yang dilempar tanpa berfikir boleh membuka ruang kepada ratusan ayat lain yang jauh lebih kejam,” katanya.
Baca juga:
- Sultan Selangor tidak berkenan penternakan babi di semua daerah
- ‘Tolong mohon Kebenaran Merancang sebelum bina rumah ibadat’ – Nga Kor Ming
- Waytha Moorthy beri 48 jam kepada Anwar jelaskan dakwaan isu perkauman
Tegasnya, kenyataan tersebut bukan bertujuan menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya sebagai peringatan agar setiap individu membawa adab dan rasa hormat apabila melangkah masuk ke mana-mana komuniti, tanpa mengira latar belakang budaya atau kaum.
“Saya bercakap bukan untuk menjatuhkan sesiapa, bukan untuk mencari salah influencer, tetapi sebagai peringatan supaya kita semua belajar. Apabila kita melangkah masuk ke tempat orang, sama ada kampung Orang Asli, kampung Melayu, India, Cina, atau sahabat kita di Sabah dan Sarawak, bawalah adab, bukan ego,” jelasnya.
Terdahulu, kandungan video yang dimuat naik oleh seorang pempengaruh ketika kunjungan ke kawasan perkampungan orang asli di Pahang mencetuskan kritikan kerana pempengaruh berkenaan didapati mengeluarkan kenyataan berbaur sensitif dan disifatkan tidak menghormati tuan rumah.











