Pendakwah tegur video tular pempengaruh review makanan | The Reporter

Pendakwah tegur video tular pempengaruh review makanan

Pempengaruh memuntahkan makanan ketika membuat ulasan makanan di sebuah kedai makan dalam video tular.
Tangkap layar video tular pempengaruh ketika membuat ulasan makanan di sebuah kedai.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Tular di media sosial satu video memaparkan tindakan seorang pempengaruh yang memuntahkan kembali makanan ketika membuat ulasan di sebuah kedai makan, sekali gus mengundang kecaman ramai.

Menerusi rakaman berkenaan, pempengaruh itu dilihat menyuap spegeti ke dalam mulut sambil memberikan reaksi seolah-olah makanan tersebut sedap. Namun, tidak lama kemudian, dia memuntahkan kembali makanan itu.

Tindakan tersebut menerima reaksi negatif dalam kalangan netizen yang menyifatkannya sebagai tidak wajar, selain dianggap mempermainkan makanan dan boleh mengelirukan penonton.

Mengulas isu berkenaan, pendakwah Ustaz Nasrullah menegur perbuatan sedemikian dan mengingatkan agar setiap individu berhati-hati dalam mencari rezeki.

Beliau turut mengingatkan tentang larangan berbohong seperti yang disebut dalam hadis Nabi Muhammad SAW:

“Jauhilah sikap suka berbohong kerana berbohong akan membawa kepada perbuatan kemaksiatan, dan kemaksiatan akan membawa ke Neraka. Jika sekiranya seseorang itu sentiasa berdusta, maka kelak dia akan dicatat di sisi Allah SWT sebagai pendusta,” katanya.

Baca juga:

Menurutnya, pendapatan yang diperoleh melalui cara menipu atau mengelirukan adalah tidak halal, justeru semua pihak perlu lebih berhati-hati dalam memastikan sumber rezeki yang diperoleh adalah bersih dan diberkati.

Permohonan maaf

Dalam pada itu, pempengaruh berkenaan tampil memohon maaf secara terbuka susulan kontroversi tersebut.

Menerusi kenyataannya, beliau mengakui tindakannya adalah keterlaluan dan kurang profesional sehingga menimbulkan rasa kurang senang orang ramai.

“Saya ingin memohon maaf atas tindakan saya yang keterlaluan dalam video yang tular baru-baru ini. Saya mengakui bahawa tindakan saya kurang profesional dan telah menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan ramai pihak,” katanya.

Menurutnya, tujuan asal video tersebut bukan untuk menjatuhkan reputasi mana-mana pihak atau menunjukkan rasa tidak suka terhadap makanan, sebaliknya sekadar berkongsi bahawa beliau sedang melalui fasa pengawalan pemakanan.

Bagaimanapun, beliau mengakui kesilapan dalam cara penyampaian dan berjanji akan memperbaiki diri pada masa akan datang, selain menghargai segala teguran yang diberikan oleh orang ramai.

Related Posts