Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, menegaskan bahawa kenyataan media sosial oleh rakan separtinya, Yeo Bee Yin, susulan kegagalan bekas perdana menteri Najib Abdul Razak mendapatkan tahanan rumah, adalah sesuatu yang tidak perlu dan boleh menjejaskan kerjasama dalam Kerajaan MADANI.
Menurut Loke, pendirian DAP terhadap kes Najib sudah lama diketahui umum dan keputusan mahkamah yang mengekalkan hukuman penjara terhadap Najib telah memenuhi objektif keadilan yang diperjuangkan sebelum ini.
Baca juga:
- ‘PAS wajar diberi laluan terajui jawatan PM’ – Isham Jalil
- UMNO kekal sokong Kerajaan Perpaduan hingga PRU akan datang
- ‘Malaysia tidak perlukan Rashid Maidin 2.0’ – Pemuda MCA
Loke berkata, walaupun DAP tegas dengan prinsip reformasi dan keadilan, bahasa serta pendekatan yang digunakan dalam kenyataan awam perlu mengambil kira realiti kerjasama politik bersama UMNO dalam kerajaan.
Katanya, Najib telah menerima hukuman melalui proses perundangan dan tiada keperluan untuk “menambah tikaman” yang hanya akan merosakkan hubungan serta menyukarkan komunikasi antara parti komponen kerajaan.
Isu tersebut tercetus selepas Yeo memuat naik hantaran Facebook berbunyi “Another reason to celebrate this year-end” pada 22 Disember lalu, sejurus Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman Najib berhubung tahanan rumah.
Anthony tegur tindakan Yeo
Terdahulu, kenyataan Yeo Bee Yin itu mencetuskan kemarahan pemimpin UMNO sehingga ada pemimpin yang mencadangkan parti itu menarik diri daripada kerajaan. Situasi tegang itu mendorong Anwar Ibrahim campur tangan dengan menggesa semua pihak menghormati keputusan mahkamah serta tidak memburukkan lagi keadaan.
Loke turut mendedahkan bahawa beliau telah menyampaikan pandangannya secara peribadi kepada Yeo, sambil menekankan bahawa teguran itu bukan bertujuan menyalahkan, sebaliknya sebagai peringatan agar lebih berhati-hati dalam menyatakan pendapat secara terbuka.
“Jika mahu bergembira, bergembiralah dalam hati. Tidak semua perkara perlu diluahkan,” katanya.
Sumber: MalaysiaKini








