Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Baru-baru ini tular satu video yang merakamkan tindakan pelancong dari negara China yang membaling jubah ke arah pengawal keselamatan di Masjid Putra.
Bukan itu sahaja, beberapa kon juga telah dilanggar oleh pelancong berkenaan.
Susulan itu, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam satu kenyataan berkata tindakan susulan akan diambil berdasarkan lunas undang-undang dan peraturan berkaitan.
“JAKIM mengambil perhatian sebuah video yang tular di media sosial yang memaparkan perlakuan pelancong China yang kurang sopan ketika melakukan lawatan di Masjid Putra, Putrajaya.
“Pelancong China tersebut dilihat telah membaling jubah ke arah Pengawal Keselamatan Masjid Putra dan beberapa kon telah dilanggar atau disepak.
“Pihak pengurusan masjid telah melakukan siasatan terhadap kes tersebut dan tindakan susulan akan diambil berdasarkan lunas undang-undang dan peraturan berkaitan,” katanya.
Dalam pada itu, JAKIM memaklumkan pihak Masjid Putra sentiasa mengalu-alukan kunjungan orang ramai dan pelancong ke Masjid Putra dengan mematuhi Garis Panduan Pelancongan dan Lawatan ke Masjid Putra bagi mempromosikan mesej keindahan dan keharmonian Islam sejagat, dan di masa yang sama tidak berkompromi dengan sebarang perbuatan tidak beradab yang boleh mencemar kesucian rumah Allah.