Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Berat mata memandang, berat lagi bebanan yang dipikul oleh sepasang suami isteri ini yang berdepan dengan kesusahan.
Norazifa, yang diserang angin ahmar hampir sebulan lalu sudah tidak mampu bekerja sebagai tukang urut. Suaminya yang bekerja sebagai penghantar barang pula terpaksa mengambil cuti untuk menumpukan perhatian pada penjagaan Norafiza dan anak bongsu mereka, Muhammad Farhan Imran yang lumpuh, berusia lima tahun.
Anak sulung mereka pula, Fatin Nur Azwani, 16, masih belajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Bandar Seri Alam, Masai.
Apa yang menyedihkan, Norazifa memaklumkan dia terpaksa pajak telefon bimbit bagi mendapatkan RM80 untuk membeli barangan dapur kerana mereka telah terputus bekalan makanan sejak dua hari lalu.
Katanya, bantuan yang diberikan oleh Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejumlah RM1,000 digunakan sepenuhnya untuk keperluan Muhammad Farhan termasuk pembelian lampin pakai buang dan ubat.
“Saya tidak sangka nasib kami seperti jatuh ditimpa tangga apabila saya diserang angin ahmar hingga mengakibatkan saya tidak mampu memberi penjagaan sempurna kepada Muhammad Farhan.
“Kini suami perlu menjaga kepada kami berdua kerana selain mata saya bermasalah, pergerakan saya juga bukan seperti dulu kerana kaki menjadi lemah.
“Doktor Hospital Sultanah Aminah (HSA) mengesahkan saya mengalami darah beku di otak dan berisiko diserang angin ahmar kali kedua.
“Buat masa ini saya memang perlu berehat dan kami tiada pilihan melainkan memajak telefon bimbit saya bagi mendapatkan wang RM80 pada hari ini,” katanya.
Bagi meringankan beban yang ditanggung oleh Norazifa sekeluarga, orang ramai boleh menyalurkan sumbangan bantuan kepada Norazifa menerusi akaun milik Norazifa di Bank Simpanan Nasional (BSN) di 0113541100018447 atau hubungi talian 017-364 6326.
Sumber: Harian Metro








