'Tempatkan warden sepenuh masa dalam kalangan pesara tentera, polis' - Aysraf Wajdi | The Reporter

‘Tempatkan warden sepenuh masa dalam kalangan pesara tentera, polis’ – Aysraf Wajdi

Asyraf Wajdi
Sumber Gambar: Kosmo

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan bahawa satu perbincangan telah diadakan bersama Ketua Pengarah MARA bagi merangka langkah proaktif dalam usaha membanteras budaya buli di institusi pendidikan di bawah agensi itu.

Menurut beliau, antara cadangan utama yang diketengahkan ialah pelantikan warden sepenuh masa berjawatan kontrak di semua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di seluruh negara.

“Warden ini boleh dilantik melalui proses temuramah dan penilaian holistik terhadap calon-calon dalam kalangan pesara tentera atau polis yang mempunyai keupayaan baik untuk menerapkan elemen disiplin serta memantau secara lebih komprehensif pembangunan sahsiah dan keperibadian pelajar di asrama,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa berdasarkan laporan yang diterima daripada pegawai beliau, pelajar-pelajar yang terlibat dalam insiden buli baru-baru ini telah pulang ke pangkuan keluarga masing-masing semalam dan hari ini.

Dalam kenyataan yang sama, Asyraf sebelumnya menyatakan keputusan yang telah dibuat oleh Jawatankuasa Disiplin Maktab yang mengesyorkan ketujuh-tujuh pelajar yang terbabit dengan insiden buli ditamatkan pengajian dari MRSM.

Siasatan daripada insiden berkenaan juga mendapati tujuh pelajar terlibat iaitu dua pelajar terlibat buli secara fizikal, manakala lima lagi didapati bersubahat.

Terdahulu, satu rakaman video buli tular yang dipercayai berlaku di MRSM di utara, memaparkan seorang pelajar lelaki (pelaku) dilihat menindih badan mangsa berulang kali, manakala seorang lagi pelajar memukul mangsa dengan menggunakan tali pinggang sebelum mengambil tindakan mengikat kaki mangsa. Mangsa didapati tidak membalas, sebaliknya hanya kedengaran suara mengerang kesakitan.

Related Posts