Tak salah pelancong asing kibar bendera China - MB Perak | The Reporter

Tak salah pelancong asing kibar bendera China – MB Perak

kibarkan bendera China

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad memaklumkan, tindakan mengibarkan bendera China sempena Sambutan Guan Gong Sedunia di Teluk Intan bukanlah satu kesalahan jika dilakukan oleh pelancong atau warga negara itu sendiri.

Namun, beliau menegaskan ia menjadi satu kesalahan sekiranya dilakukan oleh rakyat tempatan atau warga Malaysia.

Beliau memberikan contoh yang sama dengan tindakan rakyat Malaysia di luar negara yang mengibarkan Jalur Gemilang ketika berhimpun di negara asing seperti United Kingdom.

Menurut Saarani, perkara itu tidak dianggap sebagai satu jenayah kerana ia dilakukan oleh pelancong atau warga negara tersebut.

“Saya berfikir, adakah rakyat China yang datang ke Malaysia lalu mengibarkan bendera negaranya adalah satu jenayah?

“Pada saya, tiada masalah dan ia bukan satu kesalahan kerana mereka bukan rakyat Malaysia. Yang salah adalah jika rakyat Malaysia yang berketurunan Cina membawa bendera China, kerana ia boleh memberi gambaran salah seolah-olah mereka mengagungkan bendera negara luar,” katanya memetik laporan Berita Harian, Sabtu.

Kelmarin, Sambutan Guan Gong Sedunia di Teluk Intan menjadi perhatian apabila beberapa video menunjukkan sekumpulan individu mengibarkan bendera China berhampiran Dataran Menara Condong sambil bersorak.

Tindakan itu mengundang siasatan polis yang memanggil penganjur untuk dirakam keterangan dan meminta semua peserta warga asing yang dipercayai dari China hadir membantu siasatan di bawah Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan 1949.

Penganjur melalui kenyataan permohonan maaf menyatakan bahawa insiden tersebut melibatkan rombongan dari China dan tidak membabitkan warga tempatan.

Related Posts