Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menjelaskan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) tidak pernah membuat sebarang pengumuman mengenai Tesla akan membuka kilang di Malaysia.
Ujarnya, kementerian itu sebelum ini ada mengadakan perbincangan dengan pengasas Tesla, Elon Musk dalam usaha menarik pelaburan, tetapi bukan membabitkan perkara berkenaan.
“Pertamanya, laporan (berita asing) tersebut bukanlah kenyataan rasmi Tesla, sebaliknya hanya memetik sumber yang anonymous ataupun tak bernama. Jadi, bila ditanya, jawapan saya (sebelum ini) ialah wartawan perlu semak kesahihan berita ini dengan Tesla, kerana sumber berita ini bukanlah Tesla.
“Kedua, MITI pun tak pernah buat pengumuman Tesla akan buka kilangnya di Malaysia. Memang kita adakan perbincangan dengan Elon Musk dalam usaha menarik pelaburan, tetapi Tesla tidak pernah membuat komitmen untuk membuka kilang di sini,” katanya.
Dalam hantaran di jaringan X itu, Tengku Zafrul turut mengemukakan satu siaran media berkenaan kenyataan bersama Tesla dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang mengumumkan pengembangan strategik ke Malaysia.
Menurut kenyataan, langkah itu adalah tindak balas langsung kepada inisiatif Peneraju Global Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) yang diperkenalkan MITI.
Selain akan memperkenalkan barisan kenderaan elektrik (EV) yang canggih kepada pengguna Malaysia, Tesla juga komited untuk melabur dalam menyediakan rangkaian yang luas stesen pengecasan pantas dan pengecasan biasa merentas lokasi strategik di Malaysia serta menubuhkan ibu pejabat dan pusat perkhidmatannya yang tercanggih di Cyberjaya, Selangor.
‘Setakat ini, hanya Tesla yang telah memohon dan diluluskan penyertaannya dalam inisiatif Global BEV ini tetapi kita mengalu-alukan penyertaan pembuat EV lain. Jadi, bila kata Tesla dapat layanan istimewa, tak betul tu, mana-mana syarikat pun boleh memohon untuk inisiatif ini,” katanya.
Sumber: Tengku Zafrul








