“Tak payah bela, kita import saja.” Cadangan itu dilontarkan secara terbuka oleh Ahli Parlimen Sabak Bernam, Kalam Salan, yang melihat penternakan babi tempatan sebagai punca konflik berulang tanpa penyelesaian jelas.
Ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini, beliau berpandangan kerajaan wajar mempertimbangkan import daging babi sebagai alternatif kepada penternakan tempatan yang sering mencetuskan bantahan penduduk.
“Tak payah bela, kita import saja. Import babi golek atau babi potong seperti ayam.
“Di Singapura, orang lebih ramai makan babi tetapi mereka tidak menternaknya dan keadaan itu lebih selamat,” katanya.
Menurut Kalam, pengalaman lalu menunjukkan setiap cadangan lokasi penternakan babi akhirnya berdepan penolakan masyarakat, sekali gus menggambarkan kegagalan mencari titik temu antara keperluan industri dan sensitiviti penduduk setempat. Situasi itu, katanya, menuntut pendekatan baharu yang lebih praktikal dan kurang mencetuskan ketegangan sosial.
Baca juga:
- Bangunan bertingkat didiami Rohingya di Sungai Makau akan diroboh ikut undang-undang
- Aduan ugutan jenayah Albert Tei terhadap Azam Baki diklasifikasikan sebagai NFA
- MPKj sahkan binaan haram di Sungai Makau, keluarkan notis penguatkuasaan
Dalam nada lebih peribadi, Kalam turut menyentuh soal agama dan pilihan makanan, sambil menegaskan larangan Islam tidak seharusnya diterjemahkan kepada sikap menghina budaya atau selera penganut agama lain.
“Sebagai rakyat Malaysia, saya pun teringin nak makan babi dan binatang lain. Kita hidup cuma sekali. Tapi agama saya melarang, sebab itu saya tak makan.
“Sama seperti biawak dan ular, saya teringin tetapi saya tak makan kerana larangan agama,” katanya.
Beliau menegaskan keinginan adalah fitrah manusia, namun batas agama dipatuhi secara peribadi dan tidak wajar dijadikan alasan untuk memandang rendah pilihan orang lain. Pendekatan saling menghormati, katanya, jauh lebih penting dalam masyarakat berbilang kaum dan agama.
Sumber: MalaysiaKini








