'Tak mahu dipatuk ular sama, BN kekal bersama Kerajaan Perpaduan hingga habis penggal - Zahid | The Reporter

‘Tak mahu dipatuk ular sama, BN kekal bersama Kerajaan Perpaduan hingga habis penggal – Zahid

Ahmad Zahid Hamidi menegaskan BN kekal bersama Kerajaan Perpaduan hingga habis penggal
Zahid tolak cadangan Pemuda UMNO, BN kekal bersama Kerajaan Perpaduan hingga tamat penggal. | Sumber gambar: Pejabat Perdana Menteri / FB Anwar Ibrahim

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan Barisan Nasional (BN) akan terus kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal, sekali gus menolak cadangan Ketua Pemuda UMNO supaya parti itu menarik diri dan menjadi pembangkang.

Zahid berkata, pendirian tersebut sudah diputuskan sejak awal pembentukan Kerajaan Perpaduan dan kekal sebagai prinsip UMNO serta BN.

Katanya, cadangan yang dibangkitkan oleh Ketua Pemuda UMNO, Muhamad Akmal Saleh, telah dibincangkan dalam mesyuarat Biro Politik UMNO, namun tiada keputusan dibuat untuk mengubah hala tuju parti.

Baca juga:

Tak mahu dipatuk ‘ular yang sama’

Menurut Zahid, UMNO tidak akan mengulangi tindakan yang boleh menjejaskan kestabilan kerajaan sedia ada, termasuk perbuatan “tebuk atap”. Beliau menegaskan parti itu berpegang kepada keputusan awal untuk bersama Kerajaan Perpaduan hingga tamat penggal sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 diadakan.

Beliau turut mengingatkan UMNO tidak mahu “dipatuk oleh ular yang sama”, merujuk kepada pengalaman kerjasama politik lampau yang berakhir dengan kekecewaan. Justeru, sebarang cadangan untuk mengubah pendirian parti, termasuk menghidupkan semula kerjasama lama, tidak akan diputuskan secara terburu-buru.

Sebelum ini, Akmal secara terbuka mencadangkan supaya UMNO menghidupkan semula kerjasama Muafakat Nasional bersama PAS susulan perkembangan politik semasa.

Cadangan itu disambut Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, yang menyatakan sokongan dan menyifatkannya sebagai kunci kepada pengukuhan serta kebangkitan semula perpaduan ummah.

Sumber: Berita Harian

Related Posts