Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Polis berjaya menahan seorang lelaki yang dipercayai suspek utama dalam kes pembunuhan seorang peniaga wanita, Norshamira Zainal, 37, ketika menjalankan penghantaran makanan secara cash on delivery (COD) di Kuantan.
Baca: Peniaga wanita dibunuh ketika COD, barang kemas lesap
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, suspek berusia 53 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Wakaf Tembusu Gong Badak, Kuala Terengganu, sekitar jam 5.30 pagi tadi.
“Dalam serbuan itu, polis turut merampas sebentuk cincin, wang tunai, pakaian dan beberapa dokumen yang dipercayai berkaitan dengan kes ini,” katanya memetik laporan dari Harian Metro, Sabtu.
Beliau turut memaklumkan pihaknya akan mendapatkan perintah tahanan reman ke atas suspek di Mahkamah Majistret Kuantan bagi membantu siasatan lanjut.
“Dengan tertangkapnya suspek, kes ini dianggap telah berjaya diselesaikan. Polis juga berterima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat hingga membawa kepada tangkapan ini,” tambahnya.
Terdahulu, Norshamira Zainal ditemukan tidak bernyawa di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur. Mangsa dipercayai dibunuh selepas menerima pesanan makanan daripada suspek sebelum barang kemasnya turut dilaporkan hilang.