Netizen kecam tindakan wanita cabar suami minum susu badannya demi konten | The Reporter

Netizen kecam tindakan wanita cabar suami minum susu badannya demi konten

Tangkapan skrin perbincangan netizen mengenai cabaran TikTok susu badan yang tular.
Netizen meluahkan rasa tidak senang dengan kandungan yang dianggap tidak wajar dikongsi di media sosial.

Tular di media sosial apabila seorang pempengaruh TikTok mencabar suaminya untuk mencuba susu badannya, yang baru diperah, sebagai sebahagian daripada kandungan videonya.

Dalam rakaman tersebut, wanita berkenaan dilihat memegang botol berisi susu dan menyatakan hasratnya untuk mengetahui rasa sebenar susu ibu selepas menonton video lain yang membincangkan perkara serupa.

Sebagai ganjaran, wanita itu berjanji akan memberi suaminya RM100 jika dia berjaya memberikan gambaran rasa susu tersebut. Suaminya yang kelihatan teragak-agak pada awalnya akhirnya mencubanya, sambil menunjukkan reaksi wajah yang mencuit hati.

Bagaimanapun, tindakan pasangan ini mengundang reaksi bercampur daripada netizen. Ramai yang mengecam mereka kerana menjadikan perkara peribadi sebagai bahan tontonan umum, menyifatkannya sebagai tidak wajar dan mempersoalkan adab serta batasan dalam berkongsi kehidupan rumah tangga.

Ada yang berpendapat bahawa meskipun tindakan itu tidak menyalahi hukum, ia tetap tidak sesuai dipertontonkan kepada umum kerana menyentuh hal yang terlalu peribadi.

Selain itu, ada yang membangkitkan persoalan hukum mengenai tindakan tersebut. Berdasarkan pandangan pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus, seorang suami dibenarkan minum susu isterinya kerana dalam Islam, suami dianggap sebagai ‘tuan’ kepada susu tersebut dan tidak memerlukan keizinan untuk berbuat demikian.

Namun, beliau turut mengingatkan bahawa walaupun perkara itu tidak haram, ia tetap perlu dipertimbangkan dari sudut kesopanan dan norma masyarakat.

Difahamkan, selepas menerima kecaman hebat, video berkenaan telah dipadam daripada TikTok. Namun, ia telah tersebar luas di media sosial, mencetuskan perbincangan hangat mengenai batasan dalam berkongsi hal rumah tangga di platform awam.

Related Posts