Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Melaka mencatat sejarah sebagai negeri pertama di Malaysia yang mengisytiharkan cuti umum selama tiga hari bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri bermula tahun ini. Keputusan ini membolehkan penduduk negeri itu menikmati tempoh cuti lebih panjang sehingga lima hari apabila digabungkan dengan hujung minggu.
Menurut kenyataan rasmi kerajaan negeri, cuti Hari Raya Aidilfitri di Melaka pada tahun 2025 ditetapkan pada 31 Mac (Isnin), 1 April (Selasa) dan 2 April (Rabu). Keputusan ini telah diluluskan oleh Jemaah Menteri setelah cadangan tersebut dikemukakan oleh kerajaan negeri pada tahun 2024.

Bagaimanapun, cuti ini bukanlah penambahan kepada jumlah cuti umum sedia ada, sebaliknya ia menggantikan cuti Awal Ramadan yang sebelum ini turut diberikan kepada penduduk Melaka. Dengan perubahan ini, cuti Awal Ramadan kini hanya akan menjadi cuti umum di negeri Johor dan Kedah sahaja.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, turut mengumumkan beberapa inisiatif lain bagi menyambut perayaan Aidilfitri, termasuk pemberian diskaun saman parkir bagi tempoh 2020 hingga 2023, tempoh percubaan polisi ‘kawasan tanpa kenderaan’ selama 10 hari, dan penangguhan pemotongan bekalan air kepada peminjam tertunggak sehingga 23 April.

Langkah ini dilihat sebagai usaha kerajaan negeri untuk memastikan rakyat Melaka dapat menyambut Aidilfitri dengan lebih selesa dan tanpa bebanan kewangan yang berat. Selain itu, pihak berkuasa tempatan juga akan menawarkan parkir percuma selama seminggu kepada pengguna di kawasan yang ditetapkan.
Keputusan kerajaan negeri ini mendapat reaksi positif dalam kalangan penduduk yang menyambut baik langkah memberi lebih banyak masa untuk pulang ke kampung dan meraikan Aidilfitri bersama keluarga.








