'Pemergian Allahyarham satu kehilangan yang amat besar' - Amal by Malaysia Airlines | The Reporter

‘Pemergian Allahyarham satu kehilangan yang amat besar’ – Amal by Malaysia Airlines

Kenyataan rasmi AMAL by Malaysia Airlines mengenang jasa kru kabin Hafeez Albukhary yang meninggal dunia selepas berkhidmat dalam penerbangan Haji dan Umrah.
Gamvar: Facebook Amal by Malaysia Airlines

Amal by Malaysia Airlines menzahirkan rasa dukacita atas pemergian salah seorang kru kabin yang disifatkan sebagai amat berdedikasi dan disayangi, Allahyarham Hafiz Bukhari Zulkefly, yang telah berkhidmat dalam operasi penerbangan Haji dan Umrah sejak tahun 2018.

Menerusi satu kenyataan pada Khamis, pihak Amal memaklumkan Allahyarham bukan sahaja memainkan peranan sebagai kru kabin dalam penerbangan Haji dan Umrah, malah turut menyumbang dalam pelbagai usaha pemasaran serta komunikasi jenama syarikat.

Menurut kenyataan itu, wajah Allahyarham sering menghiasi bahan promosi Amal dan beliau dikenali dalam kalangan para jemaah kerana layanan yang mesra, profesional serta penuh keikhlasan sepanjang bertugas.

“Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan yang amat besar buat seluruh keluarga Amal. Jasa, dedikasi dan komitmen yang telah dicurahkan akan sentiasa dikenang dan dihargai,” menurut kenyataan berkenaan.

Amal by Malaysia Airlines turut mengajak orang ramai menghadiahkan bacaan Al-Fatihah serta mendoakan agar Allah SWT mengampunkan segala dosa Allahyarham, melapangkan kuburnya, menerima segala amal kebajikannya dan menempatkan beliau dalam kalangan hamba-Nya yang beriman.

Dalam masa sama, syarikat itu turut mendoakan agar seluruh ahli keluarga Allahyarham diberikan ketabahan, kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi kehilangan insan tersayang.

Baca juga:
Jasa Allahyarham dikenang

Di ruangan komen kenyataan tersebut, ramai jemaah dan kenalan Allahyarham turut berkongsi pengalaman menyentuh hati sepanjang mengenali beliau.

Seorang pengguna media sosial, Azizul My, memaklumkan beliau pernah menaiki penerbangan Haji bersama Allahyarham pada 18 Mei lalu.

Menurutnya, Allahyarham merupakan individu yang mengingatkan para jemaah supaya berniat di Qarnul Manazil, sekali gus meninggalkan kenangan yang sukar dilupakan.

“Saya pergi haji baru ini satu penerbangan dengan arwah pada 18 Mei 2026. Dialah yang ingatkan kami untuk berniat di Qarnul Manazil. Saya berdoa Allah tempatkan arwah dalam kalangan mereka yang beriman. Amin,” tulisnya.

Allahyarham Hafiz Bukhari sebelum ini dikenali ramai menerusi video-video yang memaparkan beliau menyantuni jemaah Haji dan Umrah dengan penuh sopan.

Pemergian kru penerbangan AMAL by Malaysia Airlines, Hafeez Albukhary, disahkan pada Khamis selepas berita duka itu dikongsikan oleh ahli keluarga, rakan-rakan serta AMAL by Malaysia Airlines menerusi media sosial.

Allahyarham yang sebelum ini disahkan menghidap kanser usus tahap empat menghembuskan nafas terakhir selepas bertarung dengan penyakit tersebut. Pemergiannya meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga, rakan sekerja serta para jemaah Haji dan Umrah yang pernah menerima layanan mesra beliau sepanjang bertugas.

Related Posts