Seorang remaja lelaki di Brazil meninggal dunia selepas menyuntik dirinya sendiri dengan campuran bangkai rama-rama dan air. Kejadian ini dipercayai berkaitan dengan cabaran berbahaya di internet.
Mangsa, Davi Nunes Moreira, 14, pada mulanya mengadu sakit selepas berjalan tempang. Namun, keadaan bertambah buruk apabila dia mula muntah dan dikejarkan ke hospital. Ketika dirawat, Davi memberitahu doktor yang dia membeli bahan-bahan dari sebuah farmasi, mencampurkan bangkai rama-rama dengan air, sebelum disuntik ke dalam kakinya.
Punca kematian masih dalam siasatan
Polis kini sedang menunggu hasil bedah siasat untuk mengenal pasti punca sebenar kematian Davi. Pakar percaya toksin dalam rama-rama mungkin menyebabkan kejutan septik yang merosakkan organ dalam badannya.
Profesor Marcelo Duarte dari Muzium Zoologi Universiti Sao Paulo berkata, rama-rama mengandungi bahan kimia dalam tubuhnya, tetapi kesannya terhadap manusia masih belum banyak dikaji. Beberapa spesies, seperti rama-rama Monarch, diketahui menyimpan toksin beracun sejak peringkat ulat.
Cabaran di internet semakin berbahaya
Kes Davi menimbulkan kebimbangan terhadap cabaran dalam talian yang semakin berbahaya. Ramai remaja terpengaruh dengan trend pelik yang tersebar di media sosial.
Seorang pengguna media sosial menulis, “Remaja zaman sekarang mudah terpengaruh dengan cabaran online. Ibu bapa kena pantau aktiviti anak-anak mereka.”
Sebelum ini, seorang influencer Brazil, Thammy MC, hampir kehilangan jari kaki selepas menyahut cabaran berdiri dalam baldi berisi ais dan garam kasar selama 15 minit. Akibatnya, kakinya mengalami nekrosis dan hampir dipotong. – Agensi








