Suspek direman 4 hari, anggota JPJ maafkan suspek & doakannya berubah menjadi insan yang lebih baik

Suspek yang merempuh seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan semasa sekatan jalan raya (SJR) di Port Dickson, direman selama empat hari bermula hari ini.

Suspek direman untuk siasatan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah untuk menakutkan penjawat awam.

Semakan polis semalam juga mendapati suspek mempunyai lapan rekod kes jenayah dan dadah.

JPJ Negeri Sembilan turut mendapati suspek mempunyai dua senarai hitam yang masih aktif iaitu Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh sejak 2012, tiada perlindungan insurans dan tiada lesen memandu.

Media semalam melaporkan, suspek cuba mengelak daripada ditahan di SJR kerana tidak mempunyai lesen memandu. Bagaimanapun tindakannya itu menyebabkan seorang anggota JPJ dirempuh dan mengalami kecederaan di kepala dan bahu.

Sementara itu, mangsa, Muhammad Nur Hakim Mohd. Razip, 29, mengambil keputusan untuk memaafkan suspek. Malah dia turut mendoakan agar lelaki itu berubah menjadi insan yang lebih baik, biarpun nyawanya hampir melayang dalam kejadian itu.

“Saya fikir dia main-main, rupa-rupanya dia meluru ke arah saya. Saya nak elak pun tak dapat.

“Bukan saya sengaja hendak menahannya, saya terkejut dan cuba mengelak. Badan saya terjatuh atas dia terlebih dahulu sebelum terjatuh ke jalan raya.

“Kalau tak terjatuh atas dia, mungkin saya dah melambung dan cedera parah,” katanya.

Sumber: Berita Harian, Kosmo! Online

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!