Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, menegaskan bahawa sebarang cadangan atau usaha memperkenalkan sistem pendidikan baharu di negara ini wajib selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan serta meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama.
Bertitah ketika Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, baginda menekankan bahawa sistem pendidikan merupakan asas pembinaan bangsa, jati diri dan masa hadapan Malaysia yang tidak boleh dikompromi.
“Jika hendak buat sistem pendidikan yang baharu, ianya mesti dibuat selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Bahasa Melayu mesti menjadi bahasa utama kerana ianya adalah bahasa kebangsaan,” titah baginda.
Baca juga:
- ‘Tolong mohon Kebenaran Merancang sebelum bina rumah ibadat’ – Nga Kor Ming
- Waytha Moorthy beri 48 jam kepada Anwar jelaskan dakwaan isu perkauman
- 21 Orang Asli ditahan disyaki ceroboh tanah milik Sultan Pahang
Usul pendidikan lain wajib terima Bahasa Melayu dan sejarah
Sultan Ibrahim bertitah, mana-mana usul yang ingin mengiktiraf sistem pendidikan lain juga tidak boleh mengetepikan Bahasa Melayu dan sejarah Malaysia, kerana kedua-duanya merupakan teras kepada identiti negara.
“Oleh itu, sebarang usul untuk mengiktiraf apa juga sistem pendidikan lain, mesti terima Bahasa Melayu dan sejarah Malaysia,” titah baginda lagi.
Baginda turut mengingatkan bahawa kedudukan Bahasa Melayu termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan perlu dihormati oleh semua pihak tanpa pengecualian.
“Kalau ada yang tak terima Bahasa Melayu, lebih baik jangan duduk di Malaysia,” titah Sultan Ibrahim, menegaskan realiti negara berdaulat yang mempunyai asas dan identiti tersendiri.
Seruan perpaduan dan kembali kepada semangat MA63
Dalam titah yang sama, baginda menyeru seluruh rakyat supaya kembali kepada niat asal pembentukan Malaysia menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), yang menyatukan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak atas dasar perpaduan serta saling menghormati.
Sultan Ibrahim mengingatkan agar perbezaan pandangan tidak dijadikan alasan untuk mencetuskan ketegangan antara wilayah, sebaliknya diselesaikan secara matang tanpa menghasut kebencian atau syak wasangka.
“Hati-hati supaya tidak menghasut sampai wujud ketegangan antara wilayah. Sebarang perbezaan pandangan harus diselesaikan secara matang,” titah baginda.
Baginda turut menyambut baik langkah kerajaan untuk meminda had tempoh perdana menteri kepada dua penggal serta cadangan pengasingan kuasa antara Jabatan Peguam Negara dan pendakwa raya sebagai usaha memperkukuh tadbir urus negara.
Sumber: Astro Awani / Utusan Malaysia / MalaysiaKini








