Pemilik stesen televisyen Suke TV, Datuk AC Mizal menafikan dakwaan mengenai stesen televisyen tersebut bakal menamatkan operasi. Suke TV katanya masih beroperasi seperti biasa dengan menyajikan pelbagai rancangan menarik.
Menyifatkan ada pasang surut dalam perniagaan, beliau berkata akan berusaha sebaik mungkin dengan perancangan yang betul.
“Suke TV berjalan seperti biasa, belum bankrap dan masih beroperasi seperti biasa. Akan ada berita gembira, tidak lama lagi. Alhamdulillah, kami sudah beroperasi selama tiga tahun, banyak perancangan akan dilakukan.
“Biasalah turun naik dalam perniagaan adalah asam garam, tapi kami berusaha uruskan dengan sebaik mungkin. Bisnes seperti ini perlu perancangan betul dan tak boleh hendak hebahkan semua, akhirnya tak menjadi.
“Disebabkan kami bersaing dengan stesen TV lain, kami kena lihat masa sesuai. Pelaburan diperlukan untuk konten besar, jadi kami perlu pastikan stesen lain memberi ruang kepada kami yang kecil,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai isu gagal membuat pembayaran gaji, beliau berkata lebih memilih untuk menyelesaikan isu tersebut di mahkamah untuk memulihkan semula reputasi yang sudah tercalar.
“Kes ini dalam peringkat mahkamah. Kami sedang saling menyaman dan saya serahkan kepada pihak peguam.
“Memang tiada pertemuan di luar kerana saya lebih suka selesaikan di mahkamah,” katanya.
Sebelum ini, AC Mizal terpalit dengan isu kontroversi pembayaran gaji pekerja selain isu caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) tertunggak.
Bagaimanapun, AC menafikan semua tuduhan dan menyifatkan kenyataan berunsur fitnah dipercayai dibuat bekas pekerja stesen TV miliknya sebagai berniat jahat dan sengaja memalukannya.
Sumber: Berita Harian








