BERSATU restu dua ADUN sokong MB Pahang | The Reporter

BERSATU restu dua ADUN sokong MB Pahang

Dua ADUN BERSATU Pahang menyatakan sokongan kepada Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy
Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, memaklumkan keputusan parti berhubung sokongan dua ADUN Pahang kepada Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy. Gambar: Facebook Faizal Azumu

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengambil maklum tindakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang daripada parti itu yang menyatakan sokongan kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail.

Dua ADUN berkenaan ialah Datuk Jasri Jamaluddin yang merupakan ADUN Kuala Sentul dan Mohd Yazid Mohd Yunus, ADUN Lepar.

Menurut Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, sokongan itu dibuat menerusi pemeteraian perjanjian persefahaman yang ditandatangani oleh Menteri Besar Pahang bersama kedua-dua ADUN berkenaan.

Beliau berkata, kedua-dua wakil rakyat itu sebelum ini telah menyatakan hasrat kepada pucuk pimpinan parti untuk berbuat demikian dan menyerahkan keputusan berhubung perkara itu kepada parti.

Katanya, perkara tersebut kemudian dibincangkan oleh Biro Politik BERSATU yang dipengerusikan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Biro Politik BERSATU telah membincangkan perkara ini dari segala sudut dan secara dasarnya menyokong tindakan tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Ahmad Faizal, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira keperluan untuk menjamin kestabilan politik di negeri Pahang.

Pada masa sama, sokongan tersebut turut dilihat penting bagi memastikan kebajikan rakyat di kedua-dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan terus mendapat pembelaan sewajarnya daripada kerajaan negeri Pahang.

BERSATU berkata keputusan berkenaan dibuat selepas mengambil kira kepentingan kestabilan politik serta kebajikan penduduk di Kuala Sentul dan Lepar.

Related Posts