Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pasangan di China yang percaya anak lelaki mereka telah meninggal dunia selepas dilahirkan 33 tahun lalu, terkejut apabila mengetahui anak mereka masih hidup dan sihat.
Zhang Huaiyuan, 33, yang dibesarkan di sebuah perkampungan miskin di wilayah Anhui, timur China, terkejut apabila mengetahui dia sebenarnya adalah anak angkat dan ibu bapa kandungnya adalah peniaga yang kaya dari wilayah Zhejiang.
Bayi diberikan kepada keluarga pengarah hospital
Doktor memberitahu ibu bapa kandung Zhang yang anak mereka meninggal dunia kerana lahir secara pramatang. Tetapi Zhang sebenarnya telah diberikan kepada seorang saudara kepada pengarah hospital yang tidak berkemampuan untuk mengandung.
Zhang dibesarkan kira-kira 400 kilometer dari wilayah Zhejiang di mana tempat ibu bapa kandungnya tinggal.
Pasangan yang mengambil Zhang sebagai anak angkat itu, berusia dalam lingkungan 50-an dan si suami pula adalah Orang Kelainan Upaya (OKU). Keadaan itu membuatkan Zhang hidup dalam keadaan kesempitan dan menyebabkan dia terpaksa mengambil keputusan untuk berhenti sekolah pada usia 17 tahun.
Selepas kematian bapa angkatnya pada tahun lalu, Zhang dimaklumkan oleh ibu angkat bahawa, dia bukan anak kandung mereka.
Setelah berpisah selama 33 tahun, Zhang akhirya dapat bertemu dengan ibu kandungnya pada Mei lalu, dengan bantuan polis.
Dalam satu perayaan besar yang diadakan di Zhejiang pada 20 Mei lalu, bapa kandung Zhang, Li Shijie, dengan berlinangan air mata, memberikan kad bank yang mengandungi 1.2 juta yuan (RM778K) kepada Zhang yang merupakan anak keduanya.
“Anak pertama kami baru berusia setahun ketika isteri mengandung anak kedua. Kerana anak pertama dilahirkan melalui pembedahan caesarean yang belum sembuh sepenuhnya, luka pembedahan isteri saya terbuka semula pada bulan keenam kehamilan,” kata Li.
Zhang dikatakan lahir secara pramatang dan doktor menyatakan dia akan meninggal dunia selepas dilahirkan.
Mewarisi bakat perniagaan
Walaupun dibesarkan dalam kemiskinan, Zhang nampaknya mewarisi bakat perniagaan ibu bapa kandungnya kerana dia memiliki sebuah kilang kecil.
Baru-baru ini, keluarga Li melawat rumah Zhang di Tianjin, China timur, di mana mereka berjumpa menantunya dan cucu lelaki berusia sembilan tahun.
“Anak saya yang malang hidup lebih dari 30 tahun tanpa mengetahui harijadinya sendiri. Tahun ini, keluarga kami akhirnya dapat meraikan perayaan ini bersama-sama,” kata Li Shijie.
Zhang juga dipuji kerana membina perniagaannya melalui hasil usahanya sendiri, bukan hanya bergantung kepada kekayaan ibu bapanya.
Sumber: South China Morning Post