Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pihaknya menemui hampir RM800,000 wang tunai di bilik tidur dua Pegawai Imigresen yang terlibat dalam sindiket ‘counter setting’.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, sebanyak RM518,250 ditemui dalam bagasi di bilik tidur Pegawai Kanan Imigresen Gred KP22 di Pahang, manakala RM248,443 ditemui di bawah katil bilik tidur utama pegawai Gred KP19 di Melaka.
Jumlah ini merupakan sebahagian daripada keseluruhan wang tunai RM1.49 juta yang dirampas, selain dari US$9,900 dan 5,470 baht Thai yang turut disita semasa Operasi Setting yang berlangsung sejak bulan lalu.
Operasi ini merupakan hasil risikan yang dilakukan oleh Bahagian Perisikan SPRM selama enam bulan. Dalam Operasi Setting, sebanyak 60 individu ditangkap, termasuk 49 penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), seorang anggota polis, dan 10 ejen sindiket.
Selain itu, 215 akaun dengan nilai RM3,601,305.32 yang melibatkan 16 syarikat dan 84 individu juga telah dibekukan.
Modus operandi sindiket ‘counter setting’ adalah dengan mempromosikan pakej untuk masuk ke Malaysia melalui platform media sosial seperti Facebook, Telegram dan aplikasi lain.
Ejen akan menghubungi Pegawai Imigresen melalui WhatsApp untuk menetapkan tarikh yang sesuai bagi kumpulan warga asing yang ingin masuk sebagai pelancong. Pegawai Imigresen yang terlibat kemudiannya memberikan ‘lampu hijau’ jika tarikh tersebut sesuai.
Butiran pasport dan gambar kumpulan warga asing akan diberikan kepada Pegawai Imigresen melalui WhatsApp dan pegawai tersebut akan memberikan maklumat nombor ‘kaunter khas’ yang perlu dituju oleh kumpulan warga asing yang tiba untuk pelepasan masuk ke Malaysia.
Azam juga mendedahkan, jumlah rasuah yang dibayar kepada setiap Pegawai Imigresen yang terlibat adalah antara RM200 hingga RM2,500.
Sumber: Bernama