Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pensyarah Fiqh Fatwa Makanan dan Kepenggunaan Semasa, Pusat Kajian Syariah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Kashim tampil menjelaskan kekeliruan orang ramai berhubung isu kesahihan solat Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang tular gambarnya di media sosial.
Menurut beliau, solat Datuk Seri Siti Nurhaliza adalah sah kerana penyanyi itu telah menutup aurat dengan sempurna ketika menunaikan ibadah tersebut.
“Solat DS Siti SAH. Beliau telah tutup aurat untuk solat. Telekung bukan syarat sah solat. Telekung hanya budaya, bukan rukun atau syarat sah solat,” jelasnya bagi menjawab persoalan yang tular di media sosial.
Beliau memetik pandangan Imam al-Nawawi dalam kitab al-Majmu‘ daripada mazhab Syafie yang menyatakan bahawa wajah ialah kawasan antara tempat tumbuh rambut kepala hingga ke bawah dagu (yang belum masuk kawasan leher), serta dari telinga ke telinga.
Baca juga:
- JAWI diarah siasat penggunaan terjemahan ayat al-Quran promosi budaya songsang
- ‘Jangan dibuat trend ambil duit raya berjoget-joget’ – Ustazah Asma’
- ‘Cukup sekadar kongsi gambar pelaku’ – Dr Rozaimi
“Wajah ialah antara tempat tumbuh rambut kepala hingga ke bawah dagu (yang nampak leher) dan dari telinga ke telinga.
“Ini bermaksud bahagian luar dagu termasuk dalam kategori muka dan tidak wajib ditutup ketika solat. Namun, bahagian bawah dagu yang sudah masuk kawasan leher adalah bukan muka dan wajib ditutup,” jelasnya.
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa perkara tersebut turut mempunyai perbezaan pandangan (khilaf) dalam kalangan ulama.
Terdahulu, tular gambar Siti Nurhaliza yang mengenakan jubah ketika menunaikan solat sunat Tarawih di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Pemakaian berkenaan menimbulkan persoalan ramai adakah sah solat beliau.











