Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Syarikat Bubblebee Sdn Bhd didakwa atas 18 pertuduhan gagal membayar cukai perkhidmatan termasuk penalti berjumlah RM1.6 juta kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), sepanjang tahun lalu.
Bagaimanapun, syarikat minuman dan dua pengarahnya, yang diwakili Shuib atau nama penuh Shahmira Muhamad, 40, dan Koh Choon Guan, 33, selaku orang kena saman (OKS) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam.
Masing-masing didakwa atas enam pertuduhan iaitu gagal membayar cukai bagi tempoh bercukai dari 1 Januari sehingga 1 November 2023.
Kesemua mereka diberi ikat jamin sebanyak RM4,000 bagi semua pertuduhan. Tarikh sebutan semula kes adalah pada 18 Disember depan.
Terdahulu, Syarikat Bubblebee, Shuib dan Koh didenda RM17,500 oleh Mahkamah Majistret di sini atas tujuh pertuduhan termasuk tunggakan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) tahun lalu.
Mereka dikenakan hukuman terbabit selepas mengaku bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret, Ameera Mastura Khamis.
Sebelum ini juga tular dakwaan daripada beberapa bekas pekerja syarikat berkenaan yang mendakwa majikan mereka culas dalam membayar gaji dan tunggakan caruman lain.
Sumber: Sinar Harian








