Selain daripada sukan bola sepak, badminton juga antara sukan yang paling digemari oleh rakyat Malaysia.
Semenjak kelahiran jaguh-jaguh dari keluarga Anak-Anak Sidek, Lee Chong Wei, Roslin Hashim dan ramai lagi sukan ini sentiasa mendapat di hati masyarakat tanpa berbilang kaum dan juga peringkat umur.
Namun begitu, satu ciapan di Twitter oleh bekas pemain badminton, Roslin Hashim mengundang persoalan ramai. Hantaran tersebut dilihat seperti organisasi yang dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan pemain-pemain badminton itu bermasalah.

“Demi badminton… aku bersuara sebab tak tahan lagi melihat badminton yang semakin tenat. Kenapa setiap kali tiada pencapaian, coach dan player sahaja yang dikenakan tindakan.
“Bila aku bercakap, aku dikenakan tindakan yang kononnya aku mengaibkan dan aku juga disaman,” tulisnya.
Beliau turut menyatakan tindakan yang dibuatnya adalah untuk menegakkan kebenaran walaupun dia hanya berjuang seorang diri.
“Salahkah aku untuk menegakkan kebenaran? Aku berjuang seorang-seorang. Rakan lain, diam. Sebab apa diam, sebab takut periuk nasi terjejas. Aku faham. Tak apa, selagi Allah bersama aku, aku sedia hadap apa saja yang datang.
“Kepada rakan-rakan, kali ini aku mohon kerajaan dan pihak berwajib bantu aku membasmi orang-orang yang merosakkan badminton,” katanya.
Tahun lalu, Roslin Hashim pernah menyatakan beliau dapat berasakan ada kepincangan dalam pengurusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang dilihatnya menjadi penyebab kepada Lee Zii Jia mengambil keputusan untuk meninggalkan badan induk itu.
Selain itu, terdapat beberapa persoalan lain yang berlegar mengenai keputusan beberapa individu yang turut meninggalkan persatuan itu.
Hantaran Roslin bagaimanapun disokong oleh netizen dan mereka mula memetik nama Menteri Belia dan Sukan serta timbalannya untuk tindakan lanjut.
Sumber: Roslin Hashim








