Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Sesi latihan renang pertama untuk atlet triatlon Olimpik di Sungai Seine, Paris, semalam telah dibatalkan susulan kualiti air sungai yang kotor.
Keputusan ini diambil setelah ujian air yang dijalankan tidak memberikan jaminan keselamatan yang diperlukan oleh badan pentadbir triatlon.
Pembatalan ini menimbulkan kebimbangan mengenai rancangan Sukan Olimpik Paris 2024 untuk mengadakan acara renang triatlon dan renang air terbuka di sungai tersebut. Walaupun penganjur tetap optimis, hujan berterusan sejak upacara pembukaan pada Jumaat telah memburukkan lagi masalah pencemaran di Sungai Seine.
Datuk Bandar Paris dan beberapa pegawai lain sebelum ini telah berenang di Sungai Seine untuk membuktikan kebersihannya. Namun keadaan cuaca yang tidak menentu telah menjejaskan usaha mereka.
Hanya sesi latihan larian dan berbasikal yang akan diteruskan di laluan triatlon, manakala pertandingan sebenar dijadualkan berlangsung pada 30 Julai (lelaki) dan 31 Julai (wanita).
Dalam beberapa tahun sebelum ini, Perancis telah membelanjakan €1.4 bilion untuk meningkatkan kualiti air di Sungai Seine melalui pembinaan loji rawatan air kumbahan dan sistem pembetungan.
Namun, hujan dan suhu yang lebih rendah daripada purata dalam beberapa minggu kebelakangan ini telah menjejaskan kualiti air sungai.
Penganjur Sukan Olimpik Paris 2024 dan Triatlon Dunia menegaskan bahawa, kesihatan atlet adalah keutamaan mereka dan akan terus memantau keadaan untuk memastikan keselamatan semua peserta.
Sumber: Sinar Harian, Kompas








