Kerajaan pertimbang naik cukai tembakau, kali terakhir disemak pada 2014 | The Reporter

Kerajaan pertimbang naik cukai tembakau, kali terakhir disemak pada 2014

Perdana Menteri Malaysia sedang bercakap di hadapan mikrofon semasa sesi rasmi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan kerajaan akan menyemak semula kadar cukai tembakau dalam Belanjawan 2026. | Kredit gambar: Pejabat Perdana Menteri / Facebook Anwar Ibrahim
Semakan semula cukai selepas 11 tahun

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan kerajaan mungkin akan menaikkan kadar cukai tembakau dalam Belanjawan 2026, selepas lebih satu dekad tiada semakan dilakukan.

Katanya, Malaysia ketika ini mengenakan cukai sebanyak 58.6 peratus daripada harga runcit, namun tiada mekanisme tetap bagi penilaian semula kadar itu sejak kali terakhir ia dinaikkan pada September 2014.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, langkah ini sejajar dengan komitmen kerajaan dalam agenda kesihatan awam dan reformasi fiskal negara.

“Saya setuju dengan semangat untuk sentiasa sihat. Bukan kerana saya tidak merokok, tetapi juga kerana adanya kempen anti-merokok,” katanya selepas menghadiri sesi libat urus Belanjawan 2026 hari ini.

Baca juga:

Cukai prokesihatan diperluas kepada rokok, vape dan alkohol

Sebelum ini, pakar ekonomi mencadangkan kadar cukai tembakau dinaikkan ke paras 60 hingga 75 peratus. Dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dibentangkan minggu lalu, Anwar turut mengumumkan perluasan cukai prokesihatan ke atas produk lain seperti vape dan alkohol, bukan semata-mata untuk menambah hasil negara, tetapi juga bagi mendorong perubahan tabiat pengguna.

Langkah ini penting dalam usaha mengawal peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) yang dikaitkan dengan gaya hidup tidak sihat seperti merokok, pengambilan gula berlebihan dan pengambilan alkohol.

NCD seperti strok, kanser dan penyakit jantung kini menjadi antara penyumbang utama tekanan kepada sistem kesihatan awam yang turut berdepan isu inflasi perubatan dan populasi menua.

Sumber: Bernama

Related Posts