Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Sebuah sekolah di timur laut China dikecam selepas didapati memberikan sisa makanan kepada pelajar. Sisa makanan tersebut disimpan dalam baldi yang biasanya digunakan untuk mengumpulkannya sebelum diberikan kepada anjing.
Kejadian itu berlaku di Sekolah Wulidianzi di daerah Huanren, wilayah Liaoning. Beberapa ibu bapa menyedari perbuatan pekerja kantin yang membuang lebihan makanan pelajar sesi awal ke dalam baldi tersebut untuk dibawa pulang sebagai makanan anjing.
Bagaimanapun, pekerja kantin itu kemudian mengeluarkan sisa makanan dari baldi itu dan menghidangkannya kepada pelajar sesi seterusnya. Beberapa pelajar dilaporkan muntah selepas menjamah makanan tersebut.
Apabila ibu bapa datang ke sekolah untuk menuntut penjelasan, pihak sekolah hanya membenarkan mereka menonton rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kantin. Namun, mereka tidak dibenarkan membuat sebarang rakaman video.
“Semua ibu bapa menangis selepas menonton rakaman itu. Saya nak tanya pengetua, adakah dia sanggup memberi makanan sebegini kepada anaknya sendiri?” kata salah seorang ibu pelajar.
Kes itu kini dalam siasatan pihak polis. Di media sosial, netizen mengecam pihak sekolah yang gagal memantau keselamatan makanan.
“Anak-anak adalah masa depan negara kita. Bagaimana pihak sekolah sanggup memberi makanan seperti ini kepada pelajar?” tulis seorang netizen.
“Sekolah dan pekerja yang terlibat perlu dikenakan hukuman berat. Keselamatan makanan mesti dipandang serius,” tambah seorang lagi netizen.
Kes keselamatan makanan di sekolah bukan sesuatu yang baru di China. Tahun lalu, sebuah kolej di Jiangxi menjadi tumpuan selepas seorang pelajar menemui kepala tikus dalam hidangan kantin. Selepas siasatan, pihak pengurusan kolej itu dikenakan hukuman berat.
Sumber: Daxiang News, South China Morning Post








