Lelaki yang dilaporkan hilang selepas membuat urusan penjualan iPhone kepada pelanggannya 3 Oktober lalu, rupa-rupanya menyembunyikan diri daripada pemungut hutang.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mangsa berusia 27 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, semalam untuk memberi keterangan.
“Pemeriksaan mendapati, mangsa dalam keadaan selamat dan tiada sebarang kejadian berlaku ke atas dirinya.
“Sebenarnya dia melarikan diri atau menyembunyikan diri daripada pemungut hutang,” katanya.
Terdahulu, media sosial digemparkan dengan berita kehilangan lelaki terbabit selepas membuat panggilan video dengan tunangnya.
Sepanjang tempoh kehilangan, ahli keluarganya meminta bantuan orang ramai melalui media sosial untuk mengesan mangsa. Lokasi terakhir mangsa berdasarkan log aktiviti telefonnya dikesan di Pulau Pinang.
Bagaimanapun, mangsa kemudian ditemui oleh seorang pemandu lori lalu menghantarnya pulang ke pangkuan keluarganya Namun tiada sebarang keterangan yang dikongsikan oleh keluarga yang hanya memaklumkan mangsa masih trauma.
Sumber: Harian Metro