'Saya tidak akan pertahankan jawatan Presiden Bersatu' - Muhyiddin Yassin - The Reporter

‘Saya tidak akan pertahankan jawatan Presiden Bersatu’ – Muhyiddin Yassin

Ahli Parlimen Pagoh, Muhyiddin Yassin mengejutkan seluruh perwakilan dan pemerhati Bersatu apabila mengumumkan dia tidak akan mempertahankan jawatan pada pemilihan parti akan datang.

Ujarnya, perhimpunan agung kali ini adalah yang terakhir untuk dia berada di pentas utama sebagai presiden.

Menurut presiden Bersatu itu, keputusan tersebut diambilnya bagi memberi peluang barisan kepimpinan baru mengambil alih parti tersebut.

“Maka, pada hari Jumaat yang mulia dan penuh barakah ini, saya ingin mengumumkan bahawa masa untuk saya mewariskan kepimpinan parti kepada barisan kepimpinan yang baru telah pun tiba.

“Untuk itu, saya tidak akan mempertahankan jawatan presiden dalam pemilihan parti yang akan diadakan sebelum hujung tahun hadapan,” katanya.

Tambah Muhyiddin tarikh pemilihan tersebut akan ditentukan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu tidak lama lagi.

Diminta pewakilan tarik balik kenyataan

Pengumuman itu bagaimanapun mendapat reaksi perwakilan yang meminta Muhyiddin menarik balik keputusannya tersebut.

Katanya keputusan tersebut dibuat untuk memberi ruang kepada pemimpin pelapis mengambil alih kepimpinan parti melalui proses demokrasi.

Muhyiddin menambah dalam proses itu dia menasihatkan pemimpin terbabit mengamalkan musyawarah terlebih dulu untuk memastikan tokoh-tokoh yang berpengalaman luas mempunyai tempat dan peranan dalam parti.

“Ini penting supaya kekuatan yang ada pada parti kita dapat kita gembeleng dengan lebih jitu lagi pada masa hadapan.

“Pesan saya, jagalah parti ini baik-baik,” katanya.

Namun begitu, menerusi sidang media, Muhyiddin menjelaskan, walaupun tidak lagi menjadi presiden selepas ini dia akan kekal menjadi ahli Bersatu.

“Sekarang ini, keputusan parti ialah menangguhkan (pemilihan) selama 18 bulan.

“Pemilihan jawatan tertinggi ini diadakan di peringkat bahagian bukan di peringkat perhimpunan agung, bermakna apabila selesai, semua jawatan-jawatan utama di MPT ini akan terpilih.

“Bermakna saya tidak lagi akan hadir dalam PAT ini sebagai presiden dalam perhimpunan akan datang,” katanya.

Mahu berikan peluang kepada pemimpin seterusnya

Muhyiddin juga menegaskan walaupun dia menghargai jika ada sebarang usul daripada perwakilan untuk mengekalkannya sebagai presiden, namun dia yakin peluang itu perlu diberikan kepada pemimpin seterusnya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pula berkata sayap itu akan mengusulkan supaya Muhyiddin kekal menerajui Bersatu pada pemilihan seterusnya.

“Sudah tentu saya akan menyentuhnya pada penggulungan esok,” katanya.

Sumber: MalaysiaKini

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!